top of page

Peningkatan perwakilan parlimen Sabah, Sarawak penting selaras MA63

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
3 hours ago
2 min read
Senator Abun Sui Anyit. Gambar arkib
Senator Abun Sui Anyit. Gambar arkib

Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) perlu diberi ruang untuk merealisasikan peningkatan perwakilan Parlimen Sabah dan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Senator Abun Sui Anyit.


Ahli Dewan Negara itu berkata, komitmen diumumkan PM Anwar itu merupakan langkah penting yang perlu dilihat berdasarkan susunan dan prinsip Perlembagaan yang menjadi asas pembentukan Malaysia, bukannya sekadar pertambahan jumlah kerusi Parlimen.


Beliau berkata, usaha kerajaan menangani isu berlarutan berkaitan MA63 menerusi proses Perlembagaan, rundingan dan permuafakatan tidak wajar ditafsirkan sebagai kelemahan kepimpinan Anwar.


"Apa yang penting sekarang ialah memberikan ruang kepada kerajaan di bawah pimpinan PMX untuk terus berusaha dalam lingkungan maksimum yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan bagi memenuhi komitmen di bawah MA63.


"Sehubungan itu, saya menyeru rakyat Sabah dan Sarawak, serta Kerajaan Sabah dan Sarawak, agar memberikan ruang dan sokongan yang sewajarnya kepada Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan usaha penting ini," katanya menerusi satu kenyataan.


Pada masa sama Abun menyeru semua pemimpin politik yang bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri agar mengingati satu prinsip asas iaitu Perdana Menteri Malaysia mestilah merupakan PM untuk semua rakyat Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.


Katanya, kepimpinan negara tidak seharusnya sesekali membuli, meminggirkan atau melayan rakyat di Malaysia Timur sebagai rakyat kelas kedua.


"Sekiranya PMX dapat meneruskan tempoh penuh pentadbirannya dan mencapai kemajuan yang lebih bermakna dalam pelaksanaan MA63, termasuk mengembalikan perwakilan Parlimen Sabah dan Sarawak yang sewajarnya, maka ia akan menjadi satu pencapaian penting buat Persekutuan.


"Saya mengalu-alukan dan menghargai komitmen Perdana Menteri untuk meningkatkan perwakilan Parlimen Sabah dan Sarawak, dan saya berharap komitmen ini kini dapat diteruskan melalui proses perlembagaan sehingga mencapai hasil yang konkrit dan bermakna," kata beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang.


Terdahulu, PM mengumumkan bahawa Kabinet bersetuju untuk Sabah dan Sarawak menambah kerusi parlimen berdasarkan keluasan wilayah dan pertambahan penduduk. Bagaimanapun proses Perlembagaan untuk urusan berkenaan melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan proses persempadanan semula akan mengambil masa dan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page