Peningkatan peruntukan Sarawak RM16.2 bilion beri manfaat penduduk pedalaman


Peruntukan Persekutuan kepada Sarawak yang meningkat sebanyak RM1.1 bilion kepada RM16.2 bilion pada 2027 berbanding RM15.1 bilion tahun ini disifatkan sebagai peluang mempercepat pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman negeri itu.
Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sarawak, Senator Abun Sui Anyit (gambar) berkata, bagi penduduk Hulu Rajang, Belaga dan kawasan pedalaman yang masih berhadapan dengan cabaran berkaitan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik, kemudahan pendidikan dan akses kepada perkhidmatan kesihatan, pembangunan yang dirancang mestilah benar-benar sampai kepada rakyat.
"Saya berharap peruntukan ini diterjemahkan melalui pelaksanaan projek yang berkesan, mengikut keutamaan setempat dan mengambil kira keperluan masyarakat yang sekian lama menantikan pembangunan asas.
"Saya juga menyambut baik komitmen Kerajaan MADANI untuk meneruskan rundingan bersama Sarawak dan Sabah bagi memuktamadkan formula tahunan Pemberian Khas yang adil serta mampan.
"Peningkatan kadar interim Pemberian Khas kepada RM1.5 bilion, selepas peningkatan sebanyak tiga kali, merupakan perkembangan yang positif, namun usaha ini perlu diteruskan sehingga satu formula yang adil, munasabah dan mengambil kira hak serta keperluan pembangunan Sarawak dapat dimuktamadkan.
"Ia mesti terus dilaksanakan secara berperingkat, dengan semangat perkongsian yang adil antara Kerajaan Persekutuan dengan Sarawak," katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam kenyataan sama, Abun turut menyambut baik komitmen untuk memulakan rundingan rasmi berhubung pembangunan Zon Ekonomi Khas Sibu, termasuk kerangka insentif, pusat pemudah cara pelaburan sehenti dan keperluan infrastruktur strategik.
Inisiatif itu katanya, berpotensi membuka ruang pelaburan, memperluas peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan tengah Sarawak.
Selain itu ujarnya, keputusan Kerajaan MADANI untuk menggandakan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak juga merupakan langkah yang amat dialu-alukan.
"Peluang pendidikan tinggi mesti diperluas supaya anak-anak Sarawak, termasuk mereka daripada keluarga berpendapatan rendah dan masyarakat pedalaman, mempunyai peluang yang lebih besar untuk melanjutkan pengajian serta membina masa depan yang lebih baik.
"Dalam masa yang sama, peruntukan hampir RM1.3 bilion untuk menaik taraf 682 sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak, perlu dimanfaatkan dengan memberi perhatian serius kepada sekolah-sekolah yang masih kekurangan kemudahan asas dan prasarana pembelajaran yang sempurna," katanya lagi.
Susulan pembentangan Belanjawan 2027 Jumaat lalu itu, Abun yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang berpendapat, perhatian khusus perlu diberikan kepada kawasan pedalaman seperti Hulu Rajang dan Belaga.
Katanya masyarakat di kawasan itu memerlukan jalan raya yang lebih baik, bekalan air bersih dan elektrik yang stabil, kemudahan kesihatan yang mencukupi, sekolah yang selesa serta capaian komunikasi dan internet yang boleh diharap.
Gaji minimum RM2,000 beri manfaat kepada rakyat
Belanjawan MADANI 2027 juga disifatkan memberi manfaat langsung kepada rakyat menerusi kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 sebulan, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada RM200 bagi setiap murid serta peningkatan kadar pencen terendah kepada RM1,350 sebulan
Bagi Abun Sui Anyit kenaikan gaji minimum merupakan langkah penting untuk meningkatkan pendapatan pekerja dan membantu mereka menghadapi tekanan kos sara hidup.
Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan kenaikan gaji itu perlu dipantau bagi memastikan manfaatnya benar-benar dinikmati pekerja yang layak.
"Kedua, peningkatan BAP daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid amat bermakna kepada ibu bapa. Dengan 5.3 juta murid dijangka menerima manfaat, bantuan ini dapat meringankan perbelanjaan keluarga untuk menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.
"Seterusnya, keputusan menaikkan kadar pencen terendah daripada RM1,000 kepada RM1,350 sebulan merupakan satu langkah yang wajar dihargai. Peningkatan itu akan membantu hampir 59,000 pesara, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan penerima pencen terbitan.
"Golongan yang telah berkhidmat kepada negara sewajarnya terus diberikan perhatian dan perlindungan kebajikan," katanya.
Dalam kenyataan sama, Abun berkata peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion, termasuk bantuan SARA sehingga RM150 sebulan bagi penerima STR yang layak, memperlihatkan usaha berterusan pihak kerajaan untuk membantu golongan yang memerlukan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negara menyifatkan, kesemua langkah itu menunjukkan bahawa belanjawan negara bukan sekadar soal angka dan peruntukan, tetapi perlu dinilai berdasarkan kesannya terhadap kehidupan sebenar rakyat.




Comments