top of page

Belanjawan 2027 pro rakyat: Tingkat bantuan rakyat, perlepasan cukai

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
2 hours ago
2 min read

Belanjawan MADANI 2027 disifatkan sebagai belanjawan terbesar dalam sejarah negara yang memperluas bantuan kepada golongan B40, mengurangkan beban cukai M40 termasuk menyediakan RM178 juta bagi kebajikan dan insentif komuniti nelayan.


Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil (gambar) berkata, belanjawan yang dibentangkan pada 9 Oktober lalu itu meletakkan halatuju ekonomi negara di landasan yang betul kerana mengimbangi keperluan membantu rakyat pada hari ini dengan tanggungjawab memastikan kewangan negara kekal mampan untuk masa hadapan.


"Antara insentif penting bagi golongan B40, peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) meningkat daripada RM15 bilion kepada RM16 bilion.


"Bagi golongan M40 pula, mereka mendapat manfaat daripada pengurangan kadar cukai pendapatan individu sebanyak satu mata peratusan bagi dua banjaran pendapatan bercukai antara RM70,001 hingga RM150,000.


"Pelepasan cukai individu turut dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000. Langkah ini menunjukkan kepedulian Kerajaan MADANI kepada golongan M40," katanya dalam kenyataan hari ini.


Faiz yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) turut mengalu-alukan perhatian khusus yang diberikan oleh Kerajaan MADANI kepada komuniti nelayan.


Melalui Belanjawan itu katanya, sebanyak RM178 juta disediakan antaranya bagi insentif hasil tangkapan dan Elaun Sara Hidup Nelayan sehingga RM300 sebulan.


"Diesel bersubsidi juga terus dinikmati pada harga RM1.65 seliter, manakala RM30 juta disediakan untuk meningkatkan jumlah pemegang lesen sampan khas daripada 17,000 kepada 20,000 nelayan.


"Selain itu, peruntukan dan pembiayaan RM40 juta oleh Agrobank bagi projek akuakultur berpotensi membuka peluang baharu untuk meningkatkan keupayaan agenda keterjaminan makanan bagi menambah nilai bekalan ikan tempatan.


"Dengan peruntukan belanjawan yang bertujuan untuk mengukuhkan subsektor akuakultur yang mampu mengembangkan peluang perniagaan dan insentif yang membela kebajikan golongan nelayan secara langsung menunjukkan agenda ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ adalah sikap Kerajaan MADANI yang walk the talk," katanya lagi sambil memuji usaha yang diambil kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.


Dalam keadaan Kerajaan MADANI telah mengemukakan perancangan perbelanjaan dan sasaran fiskal yang jelas dan menyakinkan, Faiz menzahirkan keyakinan bahawa rakyat kecewa dengan kegagalan Pas dan Perikatan Nasional (PN) selaku blok pembangkang paling besar untuk mengemukakan belanjawan bayangan mereka sendiri.


"Jika benar mereka mempunyai pendekatan yang lebih baik dan bersedia menjadi kerajaan, seharusnya mereka bentangkan angka, jelaskan sumber pembiayaan dan tunjukkan bagaimana bantuan rakyat boleh dipertingkatkan tanpa menjejaskan kedudukan kewangan negara.


"Sudah tiba masa untuk rakyat menilai berdasarkan kemampuan dan bukan permainan politik semata-mata," katanya lagi.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page