top of page

Peningkatan daya saing global: Bukti keberkesanan kepimpinan Kerajaan MADANI

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 23
  • 2 min read

ree

Oleh: Hasbul Ahmad


ANALISIS: Malaysia terus menunjukkan prestasi memberangsangkan di persada antarabangsa apabila berjaya mencatat peningkatan dalam kedudukan daya saing global menurut laporan terkini Ranking Daya Saing Dunia (WCR) 2025.


Penggerak NGO Rakan Nasionalis Moderat, Dr Faiz Na’aman berkata, dalam tempoh setahun pentadbiran Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim negara bukan sahaja berjaya memulihkan ekonomi pasca pandemik malah telah memperkukuh kedudukannya di peringkat nasional, serantau dan global terutama dalam bidang ekonomi.


"Malaysia (kini) diiktiraf sebagai sebuah negara yang mampu menguruskan pembangunan ekonomi secara mampan dan inklusif.


"Laporan WCR itu menilai lebih daripada sekadar pertumbuhan ekonomi, turut mengambil kira aspek sosial, budaya, peluang pekerjaan, tahap produktiviti, dan kecekapan tadbir urus.


"Keberhasilan ini adalah hasil kerjasama mantap antara kementerian dan jabatan kerajaan. Ini membuktikan pelabur asing semakin melihat Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan yang stabil, cekap dari sudut komunikasi dan pengurusan dalaman," katanya kepada Suara Keadilan.


Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan baru baru ini mengumumkan kedudukan Malaysia merekodkan lonjakan 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) 2025.


Kedudukan terbaharu itu adalah pencapaian terbaik negara sejak 2020, mencerminkan momentum pengukuhan ekonomi Malaysia dan usaha pembaharuan yang berterusan serta mengukuhkan hala tuju negara untuk berada dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing sebelum 2033 seperti yang disasarkan dalam Kerangka Ekonomi MADANI.


Kesejahteraan kepada rakyat


Dalam pada itu Dr Faiz berkata, pencapaian tersebut juga akan membawa kepada usaha kerajaan menterjemahkan peningkatan daya saing global ke dalam bentuk kesejahteraan buat rakyat, terutamanya golongan M40 dan B40 akan lebih baik selepas ini.


"Walaupun prestasi ekonomi meningkat, masih wujud cabaran seperti kos sara hidup yang tinggi, gaji minimum yang tidak setara, dan keperluan untuk bekerja lebih daripada satu pekerjaan di kawasan pinggir bandar.


"Golongan M40 hari ini tersepit – tidak layak menerima bantuan, tetapi juga bukan kaya. Maka pendekatan percukaian yang lebih sistematik dan bersasar perlu digerakkan untuk mengimbangi ketidakseimbangan ini.


"Sebab itu kerajaan memberi fokus kepada penguatkuasaan undang-undang percukaian, dengan usaha memastikan golongan berpendapatan tinggi dan entiti korporat besar turut menyumbang secara adil.


"Hanya 30% kelompok kapitalis kini membayar cukai. Kita perlu tingkatkan angka ini demi keadilan ekonomi," tambahnya.


Prinsip sosialisme moderat


Sementara itu dalam dasar ekonomi pula, kata Dr Faiz, kerajaan kini mengamalkan prinsip sosialisme moderat bagi mengimbangi sistem ekonomi kapitalis, demi memastikan kekayaan negara dapat diagihkan dengan lebih saksama.


Katanya, hal itu selari dengan usaha berterusan untuk membasmi kemiskinan tegar secara menyeluruh – bukan sahaja melalui bantuan tunai, tetapi dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran.


"Peningkatan kedudukan dalam WCR memberi isyarat jelas bahawa Malaysia berada di landasan yang betul. Namun, kerja belum selesai.


"Tumpuan kini harus diberikan kepada usaha memastikan semua lapisan masyarakat – dari M40 hingga B40 dapat menikmati manfaat hasil pertumbuhan ekonomi negara.


"Yang penting, bukan sekadar laporan di atas kertas, tetapi bagaimana rakyat di bawah sana boleh merasai hasil usaha ini. Hanya dengan itu, kejayaan sesebuah kerajaan menjadi benar-benar bermakna," kata Dr Faiz Na’aman lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page