top of page

Peniaga buah di Sarikei rugi, semak semula lokasi tapak jualan - Bruce Yee

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 2 min read
Bruce Yee menunjukkan tapak parkir yang kurang pengunjung dan merugikan peniaga buah buahan
Bruce Yee menunjukkan tapak parkir yang kurang pengunjung dan merugikan peniaga buah buahan

Peniaga buah-buahan bermusim di Sarikei, Sarawak merayu agar pihak berkuasa tempatan mempertimbangkan semula pemindahan lokasi jualan yang didakwa menjejaskan pendapatan mereka.


Ketua Cabang KEADILAN Sarikei, Bruce Yee berkata, perkara itu disuarakan selepas beliau menerima aduan daripada puluhan peniaga sebelum turun padang meninjau sendiri situasi di kawasan ruang parkir Terminal Satu, Tebingan Sungai Rajang.


Menurut beliau, Majlis Daerah Sarikei sebelum ini telah memindahkan lokasi jualan buah-buahan bermusim ke kawasan parkir berhampiran Wisma Mutiara, namun lokasi baharu itu gagal menarik pelanggan.


"Selepas beberapa hari beroperasi, tiada peniaga yang mampu bertahan di lokasi baharu kerana sambutan pelanggan amat mengecewakan," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, keadaan tersebut menyebabkan banyak buah-buahan tidak dapat dijual dalam tempoh singkat sehingga rosak, sekali gus memaksa peniaga menjual pada harga lebih rendah bagi mengurangkan kerugian.


"Buah-buahan bermusim mempunyai tempoh jualan yang sangat terhad dan tidak boleh disimpan terlalu lama," katanya.


Tapak lama lebih sesuai untuk meneruskan perniagaan buah buahan
Tapak lama lebih sesuai untuk meneruskan perniagaan buah buahan

Menurutnya, sebahagian peniaga terpaksa kembali berniaga di lokasi asal di Tebingan Sungai Rajang bagi memastikan pendapatan mereka tidak terjejas.


Tambah beliau, lokasi baharu itu juga didakwa tidak strategik kerana jauh dari laluan utama pengangkutan dan kurang aliran pengunjung.


"Kedudukannya agak jauh daripada pusat transit utama yang sering digunakan oleh penduduk luar bandar dan separa bandar yang bergantung kepada pengangkutan bas jarak dekat serta pengangkutan sungai," katanya.


Selain itu, kemudahan asas seperti tandas awam dan ruang parkir yang mencukupi di lokasi baharu turut menjadi isu kepada peniaga dan pelanggan.


Sebaliknya, Tebingan Sungai Rajang yang sebelum ini dikenali sebagai “Jalan Buah-Buahan” dan “Jalan Durian” Sarikei dilihat lebih sesuai kerana mempunyai kemudahan lengkap serta menjadi tarikan pelancong.


"Kawasan ini mempunyai kemudahan yang lebih lengkap termasuk tandas awam, ruang parkir yang luas dan suasana yang lebih selesa," katanya.


Dalam masa sama, beliau berkata peniaga memahami isu parkir tidak teratur yang timbul, namun berpendapat penutupan keseluruhan kawasan jualan sedia ada bukan penyelesaian terbaik.


Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak berkaitan untuk duduk semeja bagi mencari penyelesaian yang seimbang antara kelancaran trafik dan kelangsungan ekonomi peniaga.


"Musim buah merupakan sumber pendapatan utama petani. Oleh itu, kebajikan mereka perlu terus dipelihara."


Beliau berharap keputusan yang lebih inklusif dapat dicapai bagi memastikan identiti Sarikei sebagai pusat buah-buahan tempatan terus kekal dan berkembang.


"Saya menyeru agar semua pihak berkaitan dapat duduk semeja dan mencari penyelesaian terbaik yang dapat mengekalkan ketenteraman serta kelancaran lalu lintas, sambil memastikan kebajikan dan mata pencarian para petani serta peniaga terus terpelihara," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page