Pengusaha bot ekspres jangan dicicirkan menikmati subsidi diesel - KEADILAN Sarikei


KEADILAN Sarikei menggesa pihak berkaitan membantu pengusaha bot ekspres penumpang antara bandar Sarikei dan Kampung Paloh, Belawai, Tanjung Manis supaya tidak tercicir daripada kemudahan diesel bersubsidi.
Ketua Cabang KEADILAN Sarikei, Bruce Yee Chin Kui berkata, beliau turun padang bertemu pengusaha bot berkenaan bagi memahami masalah yang dihadapi susulan pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026.
Menurutnya, pengusaha berkenaan masih belum dapat menikmati diesel bersubsidi kerana terdapat beberapa dokumen yang belum lengkap bagi memenuhi keperluan permohonan.
"Saya turut meluangkan masa menemani beliau ke Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) dan seterusnya ke Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sarikei bagi memahami status permohonan beliau sebelum ini," katanya dalam kenyataan.
Bruce berkata, beliau menghargai penerangan serta penjelasan yang diberikan pegawai kedua-dua agensi berkenaan, termasuk kesediaan mereka menerima kehadiran dan mendengar permasalahan yang dibangkitkan.
Katanya, apa yang lebih membimbangkan ialah pengusaha terbabit masih meneruskan perkhidmatan kepada penduduk Kampung Paloh walaupun operasi berkenaan kini berdepan kerugian yang boleh mencecah ribuan ringgit bagi setiap perjalanan.
"Apa yang lebih menyentuh hati saya ialah pengusaha bot ekspres ini masih sanggup bertahan dan meneruskan perkhidmatannya kepada penduduk Kampung Paloh demi kebajikan & kelangsungan hidup mereka walaupun beliau memaklumkan bahawa operasi tersebut kini berdepan kerugian yang boleh mencecah ribuan ringgit bagi setiap perjalanan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman pengusaha itu yang mempunyai hubungan rapat dengan penduduk Kampung Paloh selama lebih 50 tahun, perkhidmatan bot berkenaan bukan sekadar operasi perniagaan.
"Bagi hampir 1,300 orang penduduk Kampung Paloh, ia merupakan satu perkhidmatan pengangkutan yang amat penting untuk kehidupan seharian," katanya.
Menurutnya, penduduk menggunakan bot ekspres berkenaan untuk pergi dan balik kerja, berurusan di pejabat kerajaan, menghantar dan mengambil anak ke sekolah, membeli barangan keperluan harian serta menghantar hasil dan barangan pertanian.
Selain itu, katanya, bot berkenaan turut digunakan bagi urusan penghantaran barangan kecil-kecilan dan pelbagai urusan harian penduduk di bandar Sarikei.
Bruce berkata, kebergantungan penduduk terhadap pengangkutan sungai itu telah berlangsung lebih 50 tahun, khususnya kerana Kampung Paloh, Belawai masih belum mempunyai jaringan jalan darat lengkap yang menghubungkannya secara terus dengan bandar Sarikei.
"Dalam keadaan begini, kelangsungan perkhidmatan bot ekspres bukan sahaja menyentuh soal ekonomi pengusaha, tetapi turut berkait rapat dengan akses penduduk kepada pendidikan, pekerjaan, perkhidmatan kerajaan, keperluan asas dan peluang ekonomi," katanya.
Beliau mengakui pemberian subsidi bersasar memerlukan syarat, dokumen dan proses pengesahan bagi memastikan subsidi disalurkan kepada pihak yang benar-benar layak.
Bagaimanapun, katanya, ruang sewajarnya perlu diberikan untuk membantu pengusaha yang benar-benar menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam sungai dan mempunyai kebergantungan tinggi terhadap diesel.
Sehubungan itu, Bruce berharap pihak berkaitan membantu pengusaha berkenaan melengkapkan dokumen diperlukan dan memudah cara proses permohonan sekiranya semua syarat kelayakan dipenuhi.
"Saya berharap pihak berkaitan dapat membantu pengusaha berkenaan melengkapkan dokumen yang diperlukan dan, sekiranya semua syarat kelayakan dipenuhi, memudah cara proses permohonannya supaya tidak terus tercicir daripada kemudahan diesel bersubsidi," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata isu berkenaan wajar dijadikan input kepada kerajaan dalam menilai keberkesanan pelaksanaan subsidi bersasar di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.
Beliau turut berharap projek pembinaan dan penambahbaikan jaringan jalan raya serta jambatan yang pernah diumumkan bagi kawasan Kampung Paloh dapat diberi perhatian dan direalisasikan secepat mungkin.
"Namun, selagi jaringan jalan tersebut belum tersedia sepenuhnya, perkhidmatan bot ekspres tetap merupakan nadi penting kepada penduduk Kampung Paloh.
"Oleh itu, saya menyeru agar semua pihak berkaitan mengambil kira realiti di lapangan dan memastikan pengusaha pengangkutan sungai yang menyediakan perkhidmatan penting kepada masyarakat tidak terpinggir dalam pelaksanaan dasar subsidi diesel bersasar," katanya lagi.




Comments