Pengurusan pencen mangsa tragedi Perkhidmatan Doktor Udara disegerakan


Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) menegaskan komitmen untuk memastikan kebajikan waris mangsa tragedi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Sarawak baru-baru ini terus diberi keutamaan.
Beliau berkata, kementeriannya kini sedang bekerjasama erat dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF) bagi menyegerakan pengurusan pencen terbitan, pampasan ex-gratia dan faedah persaraan untuk keluarga mangsa.
Menerusi hantaran di laman X (Twitter) beliau turut memberi jaminan akan memastikan keselamatan nyawa petugas kesihatan sebagai keutamaan mutlak.
Dalam masa sama kementeriannya akan memastikan perkhidmatan kesihatan bagi penduduk di kawasan pedalaman Sarawak sentiasa dipenuhi walaupun perkhidmatan FDS ditangguhkan ketika ini.
"Penangguhan operasi FDS juga tidak mempunyai tempoh tertentu dan akan disambung semula selepas siasatan rasmi selesai serta KKM berpuas hati dengan tahap keselamatan krew FDS.
"Bagi memastikan perkhidmatan pesakit di pedalaman tidak terjejas sepanjang tempoh penggantungan itu, bantuan logistik daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus digerakkan," katanya dipetik laporan media.
Dalam kejadian pada 8 September lalu, helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang, terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport).
Mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.
Siasatan rasmi mengenai punca nahas sedang aktif dijalankan Bahagian Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.




Comments