PM sertai libat urus Bank Rakyat bersama Alibaba Cloud, Lenovo


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai sesi libat urus strategik antara Bank Rakyat dengan dua syarikat teknologi China, Alibaba Cloud dan Lenovo, sejurus tiba di Shanghai, semalam.
Sesi berkenaan memberi tumpuan kepada penerokaan kerjasama dalam bidang teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi kewangan (fintech).
Anwar menyambut baik usaha transformasi serta komitmen Bank Rakyat dalam memperkukuh keupayaan digitalnya menerusi penerokaan peluang kerjasama yang lebih luas merentasi pelbagai lapangan perniagaan Alibaba.
Beliau turut mengalu-alukan penglibatan Lenovo sebagai rakan ekosistem dalam Hab Komuniti Fintech Bank Rakyat.
Menurut beliau, sinergi strategik itu berpotensi membuka ruang perkongsian teknologi, kepakaran dan pengalaman yang dapat memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), gerakan koperasi serta usahawan tempatan.
Kerjasama tersebut juga dilihat dapat menyokong usaha memacu penyampaian perkhidmatan digital yang lebih cekap, inklusif dan berkualiti.
Anwar menegaskan bahawa setiap kerjasama strategik yang dibina perlu membawa limpahan nilai kepada ekonomi negara, meningkatkan daya saing Malaysia serta memberi manfaat yang bermakna kepada rakyat.
"Matlamat kita jelas bahawa setiap kerjasama strategik yang dibina harus membawa limpahan nilai kepada ekonomi negara.
"Ia juga meningkatkan daya saing Malaysia dan akhirnya yang paling utama adalah memberi serta menjamin manfaat yang bermakna kepada rakyat," katanya.




Comments