MA63: Tuntutan 40% hasil Sabah, Sarawak bakal bermasalah jika BN-PN memerintah?


Adakah Sabah akan ada suara atau dibungkam demi 'penyatuan ummah'? Jangan sampai menang sorak, kampung tergadai
Pas Sabah dicabar memperhalusi implikasi sekiranya gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran Persekutuan, khususnya terhadap tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Ahmad Farid Sainuri berkata kebimbangan itu berdasarkan kepada rekod pentadbiran kerajaan terdahulu yang didakwa gagal menunaikan tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah sepanjang tempoh 2016 hingga 2026.

Beliau berkata, dalam tempoh pentadbiran kerajaan BN dan BN-PN pada 2021 hingga 2022, Sabah hanya menerima bayaran interim, manakala peningkatan jumlah bayaran selepas 2023 berlaku ketika sokongan politik dari Sabah dan Sarawak diperlukan bagi mengekalkan kestabilan Kerajaan Persekutuan.
Perkembangan itu ujarnya, menggambarkan kepentingan sokongan politik Sabah dan Sarawak dalam memastikan hak serta kepentingan negeri berkenaan terus diberi perhatian oleh Kerajaan Pusat.
"Kenapa ada sedikit kenaikan pada 2021-2022? Sebab perlu sokongan Sabah, Sarawak untuk kekalkan Kerajaan.
"Sejak 2023, belum lagi terbayar 40 peratus tapi sudah naik ke RM300 juta dan akhirnya RM1.5 bilion (bayaran Interim kepada Sabah), kenapa?
"Sebab sokongan Sabah, Sarawak diperlukan. Untuk ingatkan BN, tarik sokongan macam mana pun Kerajaan Persekutuan masih utuh dan kekal berfungsi seperti biasa.
"Bermula tahun 2021 hingga 2022 barulah ada perubahan. Akhirnya barulah ada penyelesaian yang signifkan sejak 2023 hingga 2026 (era PM Anwar Ibrahim)," katanya dalam satu kenyataan.
Sabah wajib mendapat haknya
Sehubungan itu katanya, pimpinan Pas Sabah yang teruja selepas keputusan Pilihan Raya Negeri Melaka, adakah mereka turut berfikir nasib MA63 di tangan kerajaan BN-PN yang berdasarkan rekod memerintah sebelum ini tidak menunjukkan komitmen tinggi mengembalikan hasil negeri itu.
"Saya Sabahan. Saya mahu Sabah mendapat haknya, Malaysia pula makmur dan disegani di peringkat dunia.
"Pokoknya harus bincang segera, syura kan apa yang terbaik untuk Sabah jika BN-Pas memerintah Malaysia.
"Adakah Sabah akan ada suara atau dibungkam demi 'penyatuan ummah'? Jangan sampai menang sorak, kampung tergadai," katanya sinis.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud menyifatkan, kenaikan pembayaran geran khas interim bagi Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam menangani tuntutan hak negeri itu secara berperingkat dan bertanggungjawab.
Beliau berkata, pengumuman PM Anwar itu merupakan pencapaian besar yang mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memastikan kepentingan Sabah terus diberi perhatian.
Ujarnya seperti dilapor, sebelum perubahan Kerajaan Persekutuan pada 2022, Sabah hanya menerima sekitar RM26.7 juta setahun selama berdekad, walaupun tuntutan 40 peratus hasil termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.




Comments