Pengunduran Rafizi: Pemimpin muda KEADILAN perlu bangkit isi kekosongan
- Suara Keadilan
- 3 days ago
- 2 min read

Pengunduran Datuk Seri Rafizi Ramli dari jawatan Menteri Ekonomi dan keengganannya menerima jawatan lantikan dalam hierarki KEADILAN tidak seharusnya terus menjadi bahan perbincangan sehingga mengganggu kelancaran parti.
Ketua Cabang KEADILAN Kemaman, Terengganu, Mohd Nazri Mohd Yusoff (gambar) berkata, ketiadaan Rafizi dalam kepimpinan utama seharusnya menggalakkan anak muda lain untuk mengisi kekosongan ditinggalkan dan memberikan idea bernas untuk memantapkan sama ada parti mahupun kerajaan.
"Merujuk kepada perletakan jawatan Saudara Rafizi Ramli dan Nik Nazmi, pihak KEADILAN Terengganu menegaskan bahawa pengunduran tokoh-tokoh itu dari barisan kepimpinan tidak seharusnya dilihat sebagai satu kehilangan arah.
"Sebaliknya, ia adalah ruang untuk pembaharuan, penyegaran idea, dan peluang untuk lebih ramai pemimpin baharu bangkit menyambung perjuangan reformasi.
"Perlu diingat, Rafizi hanyalah seorang insan tetapi perjuangan untuk membina Malaysia tidak boleh ditanggung oleh bahunya seorang. Masa depan negara ini memerlukan penyertaan semua dari dalam parti, kerajaan dan rakyat," kata Nazri dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa anggota KEADILAN untuk tidak terlalu membincangkan isu rombakan kabinet kerana hal itu adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya, kata beliau, fokus harus ditumpukan kepada memperbaiki taraf hidup rakyat, mengurangkan kos sara hidup dan menyelesaikan janji janji pilihan raya umum lalu sekiranya masih belum tertunai.
"Sebarang spekulasi tentang kononnya akan berlaku rombakan kabinet, ataupun kekosongan hala tuju kerajaan hanya akan mengalihkan perhatian rakyat daripada kerja besar yang sedang dijalankan membina semula ekonomi, menyelesaikan kos sara hidup, dan memperkukuh dasar rakyat.
"Rakyat sudah muak dengan permainan persepsi. Sudah tiba masanya untuk kita semua bergerak ke depan," katanya lagi.
Untuk rekod, semenjak peletakan jawatan Rafizi sebagai Menteri Ekonomi pada hujung Mei lalu media tempatan sering menyoroti perkembangan pemimpin KEADILAN itu dan meninggalkan perbincangan serius di dalam parti mengenai penggantinya, mahupun peranan yang beliau perlu terus mainkan dalam parti.