Pengunduran bekas Timbalan Ketua AMK Selayang tidak mengejutkan
- Suara Keadilan

- 57 minutes ago
- 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selayang mengambil maklum keputusan bekas Timbalan Ketua AMK Selayang, Muhammad Amir Sahmat yang meletakkan jawatan dan meninggalkan KEADILAN.
Setiausaha AMK Selayang, Tong Liang Wang (gambar) berkata keputusan tersebut tidak mengejutkan memandangkan komitmen Amir sejak kebelakangan ini dilihat semakin tidak konsisten terhadap amanah yang diberikan kepada beliau.
"Bagi AMK Selayang, keputusan ini tidak mengejutkan memandangkan tanggungjawab beliau sejak kebelakangan ini yang dilihat semakin menjauh daripada perjuangan parti dan amanah yang diberikan oleh ahli akar umbi," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, tindakan Amir meletakkan jawatan sebelum ini bukan sahaja mengecewakan penyokong yang telah memberikan kepercayaan kepada, malah pernah menyebabkan Cabang Selayang berdepan risiko kekosongan kepimpinan serta menjejaskan imej parti di mata masyarakat.
AMK Selayang juga membangkitkan isu dalaman cabang yang didakwa semakin kerap menyerang kepimpinan pusat, termasuk Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan keputusan pemilihan parti yang tidak memihak kepada kelompok tertentu.
"Keadaan ini telah menyebabkan AMK Selayang menerima pelbagai aduan daripada ahli dan penyokong parti yang tidak selesa dengan budaya menyerang kepimpinan sendiri secara terbuka," katanya.
Tambahnya, pihak AMK Selayang telah menjalankan semakan dalaman dan mengemukakan laporan kepada pimpinan pusat termasuk Jawatankuasa Disiplin, namun sehingga kini tiada tindakan yang diketahui telah diambil.
Mengulas dakwaan wujud gelombang ahli meninggalkan parti di Selayang, AMK mengakui perkara itu berlaku namun menegaskan puncanya adalah hilang keyakinan terhadap kepimpinan cabang bukan terhadap parti secara keseluruhan.
Sehubungan itu, AMK Selayang menegaskan bahawa politik bukan medan mengejar kepentingan peribadi, sebaliknya amanah untuk berkhidmat kepada rakyat serta mempertahankan perjuangan parti.
"Berdasarkan keputusan Amir yang secara sukarela meletakkan jawatan dan meninggalkan parti, AMK Selayang tidak berasa kecewa atau kehilangan besar," katanya lagi.
Tambah beliau, AMK Selayang akan terus memberi fokus kepada usaha memperkukuh organisasi, mendekati masyarakat serta memperjuangkan aspirasi anak muda dan rakyat di kawasan Selayang.




Comments