Pengundi Johor sokong PMX, mahu kerajaan PH kekal
- Akmal Manaf

- 4 hours ago
- 2 min read

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sentimen sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) terus diperkatakan di dalam kalangan pengundi yang ditemui dalam ceramah Pilihan Raya Negeri Johor.
Meskipun suasana politik semakin ‘memanas’ dengan isu kaum dan negeri yang sempit, namun tumpuan juga terarah kepada sejauh mana rekod pentadbiran dan kestabilan Kerajaan Persekutuan yang dijangka menjadi pertimbangan utama pengundi ketika membuat pilihan di peti undi pada 11 Julai nanti.
Ada pengundi yang menyifatkan pelbagai perubahan serta peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai faktor utama mengapa mereka mahu melihat PM Anwar diberikan mandat untuk meneruskan kepimpinan sepenggal lagi.

"PMX bagus, kena kekalkan beliau sebagai Perdana Menteri lagi sepenggal," kata Shahriza Kimin ketika ditemui Suara Keadilan pada program KEADILAN Untuk Rakyat Johor di Bukit Bakri, Johor malam tadi.
Seorang pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning berbangsa Cina pula berkata, beliau sememangnya menyokong PH dan melihat kepimpinan Anwar yang juga Presiden KEADILAN sebagai antara faktor yang mendorong kepada sokongan tersebut.
"PM Anwar sangat bagus memimpin negara, bantuan dan peruntukan sampai kepada rakyat dan pada masa sama kami dapat merasakan keprihatinan kerajaan," ujarnya.
Nada sama turut disuarakan Sam, seorang pengundi di DUN Bakri yang berpendapat PM Anwar perlu dikekalkan sebagai Perdana Menteri untuk satu penggal lagi.
Katanya, langkah itu penting bagi membolehkan PM Anwar meneruskan agenda serta dasar yang sedang dilaksanakan kerajaan sekali gus membantu rakyat di negara ini.
Terbaharu, Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Fuziah Salleh memaklumkan, parti itu akan bertanding sekurang-kurangnya di 20 kerusi di Johor.
Sebelum ini, PH mengumumkan akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN di negeri berkenaan, sekali gus berdepan UMNO yang memilih untuk bergerak secara solo.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRN Johor Ke-16 akan diadakan pada 11 Julai ini.
Hari penamaan calon dan hari pengundian awal, masing-masing ditetapkan pada 27 Jun dan 7 Julai ini.
Pada PRN Johor Ke-15, Barisan Nasional (BN) memenangi 40 daripada 56 kerusi, manakala PH meraih 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memenangi satu kerusi.




Comments