Pengundi awal ATM, PDRM beri kepercayaan kepada PH, tingkat kebajikan anggota keselamatan
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal lusa supaya terus memberikan sokongan kepada calon-calon Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya negeri.
Beliau berkata, setiap undi yang diberikan bukan sekadar menentukan hala tuju negeri, malah merupakan amanah besar untuk memastikan kerajaan terus memperkukuh kebajikan anggota keselamatan serta keluarga mereka.
"Dengan penuh rendah diri, saya merayu kepada rakan-rakan serta keluarga dari Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia yang akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal untuk terus memberikan kepercayaan kepada calon-calon HARAPAN," katanya dalam hantaran di media sosial petang ini.
Menurut PM, mandat yang diberikan oleh pengundi awal akan menjadi tanggungjawab yang perlu dipikul dengan penuh amanah demi memperjuangkan kepentingan anggota pasukan keselamatan.
Beliau mengakui masih banyak perkara yang perlu diperbaiki dalam usaha meningkatkan kebajikan anggota keselamatan dan rakyat secara keseluruhannya.
"Saya sedar masih banyak yang perlu diperbaiki, dan saya tidak pernah menganggap segala yang telah dilakukan itu sudah memadai," ujarnya
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus bekerja lebih keras sekiranya diberi mandat berterusan oleh rakyat.
"Dengan sokongan dan mandat berterusan, Insya-Allah kami akan terus bekerja lebih kuat demi mengangkat martabat negara, membela kebajikan rakyat serta memperkukuh kesejahteraan seluruh warga pasukan keselamatan," katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena proses pengundian awal, sambil menggesa anggota ATM dan PDRM menggunakan hak demokrasi mereka untuk menentukan masa depan negeri serta negara.
Untuk rekod, pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ditetapkan pada 28 Julai ini, melibatkan seramai 16,884 anggota tentera bersama pasangan mereka dan 5,455 anggota polis.




Comments