Pengukuran, pemberian hak milik tanah NCR dipercepatkan - Mustapha Sakmud
- Suara Keadilan
- 8 hours ago
- 1 min read

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud (gambar) memberi komitmen akan memperjuangkan peningkatan peruntukan Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) bagi mempercepatkan penyelesaian isu tanah hak adat anak negeri (NCR).
Beliau berkata, usaha yang akan dilaksana menerusi Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) itu bagi memastikan momentum pelaksanaan PANTAS dapat dikekalkan, sekali gus mempercepatkan penyelesaian baki tanah NCR yang masih belum mempunyai hak milik.
"Kerajaan komited meneruskan usaha menyelesaikan isu tanah NCR di Sabah dengan menyediakan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
"Program dibiayai Kerajaan Persekutuan ini untuk membantu kerajaan Sabah mempercepatkan kerja pengukuran tanah dan pengeluaran geran kepada rakyat yang layak," katanya dipetik laporan media pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat semalam.
Terdahulu, Ahli Parlimen Tuaran, Madius Tangau bertanyakan soalan berhubung peruntukan bagi program tersebut.
Sementara itu menurut Mustapha, setakat 30 Jun lalu, kerja pengukuran menerusi PANTAS meliputi 214,171 hektar tanah dan memberi manfaat kepada 95,206 penerima di seluruh Sabah. Dalam tempoh sama, sebanyak 60,559 hak milik tanah berjaya dikeluarkan.
"Bagaimanapun kerajaan menyedari masih terdapat kawasan tanah NCR yang belum selesai diukur dan diproses.
"Ia disebabkan beberapa kekangan antaranya keluasan kawasan pedalaman, bentuk muka bumi mencabar, pertindihan tuntutan hak milik, keperluan pengesahan tuntutan oleh kerajaan negeri serta proses perundangan yang perlu dipatuhi," jelasnya.
Sehubungan itu menurut beliau, kerajaan akan memperkukuh kerjasama dengan kerajaan Sabah dan Jabatan Tanah dan Ukur negeri bagi memastikan pelaksanaan PANTAS diteruskan dengan lebih cekap dan berkesan.
