Penggiat industri kreatif diseru promosi gaya hidup sihat
- Suara Keadilan

- 10 hours ago
- 1 min read

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (gambar) menyeru golongan karyawan serta penggiat industri kreatif memainkan peranan sebagai pemangkin dalam memupuk gaya hidup sihat dalam komuniti.
Beliau menegaskan, karyawan bukan sekadar berperanan menghiburkan, sebaliknya mempunyai pengaruh besar dalam membentuk nilai dan gaya hidup masyarakat.
"Kita mahu semangat kebersamaan ini terus dipupuk… kita jadi pemangkin bersama artis lama dan baharu untuk menerapkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, khususnya di Bandar Tun Razak," kata Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu.
Dr Wan Azizah sebelumnya hadir merasmian Majlis Raya Karyawan Bersama Komuniti Sejahtera di Kompleks Sukan Desa Tasik di Kuala Lumpur pada Ahad.
Majlis anjuran Parlimen Bandar Tun Razak itu turut dihadiri Setiausaha Politik Perdana Menteri iaitu Datuk Azman Abidin dan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia Freddie Fernandez.
Dihadiri lebih 1,500 pengunjung, acara diisi dengan pelbagai aktiviti komuniti termasuk persembahan artis jemputan, saringan kesihatan percuma serta program kesejahteraan.
Sementara itu, Dr Wan Azizah menerusi ucapannya mengingatkan orang ramai yang hadir bahawa sambutan perayaan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengabaikan kesihatan, sebaliknya perlu disertai kawalan pemakanan dan amalan gaya hidup sihat.
"Dalam kita meraikan perayaan dan menikmati juadah, kita perlu membawa mesej jelas tentang kepentingan menjaga kesihatan, itu paling penting," katanya dipetik.




Comments