top of page

Pengerusi SPR letak jawatan?




Oleh: Syed Ibrahim Syed Noh


Di tengah tengah suasana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini, timbul khabar angin bahawa Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun telah meletakkan jawatan. Sehingga kenyataan saya ini keluar, ia terus menjadi tanda tanya.


Menerusi laporan media, difahamkan Datuk Azhar yang dilantik sebagai Pengerusi SPR pada 21 September 2018 dikatakan melepaskan jawatan itu beberapa hari lepas, susulan beliau dicalonkan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof.


Jika ini benar berlaku, banyak persoalan yang timbul dan perlu penjelasan.


Diarah lepas jawatan?


Mengapakah Datuk Azhar meletakkan jawatan sedangkan tempoh perkhidmatan beliau masih belum tamat? Apakah beliau membuat keputusan sendiri atau “diarah” berbuat demikian supaya kedudukan Pengerusi itu boleh diganti dengan seorang yang “mesra” kerajaan?


Siapakah yang akan menggantikan Datuk Azhar dan bagaimanakah pemilihan dilakukan? Apakah ini persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) mengejut?


Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen – Pilihan Raya, saya memandang berat perkara ini kerana antara ciri-ciri penting reformasi pilihan raya ialah wujudnya institusi pelaksana pilihan raya seperti SPR yang bebas, adil dan berwibawa. Dan kepimpinan SPR ialah antara kunci penting.


Sebelum PRU yang lalu, umum mengetahui akan banyaknya kepincangan yang berlaku terhadap sistem dan proses pilihan raya negara hinggakan pelbagai badan bukan kerajaan malah rakyat mendesak melalui demonstrasi jalanan.


Syor penambahbaikan atau reformasi pilihan raya dikemukakan oleh badan-badan seperti BERSIH, Malaysians for Free and Fair Elections (MAFREL) dan lain-lain namun penerimaannya dilihat hanya separuh hati dan terpilih. Malah ada dakwaan yang mengatakan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi pada ketika itu merupakan anggota parti kerajaan.


Lebih mengecewakan apabila SPR didakwa membenarkan berlakunya pengamalan manipulasi kawasan pilihan raya (gerrymandering) dan persempadanan tidak sekata (malapportionment) dalam proses persempadanan semula pilihan raya. Penentuan hari mengundi pada hari rabu oleh SPR, meskipun dijadikan cuti umum, juga dilihat aneh pada masa itu.


Reformasi pilihan raya


Dengan perubahan kerajaan kepada Pakatan Harapan kemudiannya, pelbagai jawatankuasa telah diwujudkan untuk menambahbaik sistem dan proses pilihan raya. Antaranya ialah Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC) dan Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC).


SPR memberi kerjasama baik malah menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen – Pilihan Raya. Di samping itu, SPR dilihat lebih terbuka terhadap pandangan pelbagai pihak dan sedia melaksanakan pelbagai syor meskipun terhad kepada undang-undang dan dana.


Dalam pertemuan saya dan anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dengan SPR pada Januari lalu, ternyata SPR mempunyai "road map" atau peta rancangan untuk melaksanakan banyak perubahan besar dalam pilihan raya negara yang melibatkan penjalanan pilihan raya, pendaftaran pemilih, perundangan dan persempadanan.


Saya amat berharap peletakan jawatan Datuk Azhar, jika benar, tidak melencongkan SPR daripada rancangan tersebut. Ini kerana sistem pilihan raya yang telus dan adil perlu wujud untuk memastikan rakyat mempunyai keyakinan terhadap sistem demokrasi di Malaysia.


Sebab itulah juga antara saranan Pakatan Harapan dahulu ialah membebaskan SPR daripada campurtangan politik dengan meletakkan SPR sepenuhnya di bawah pemantauan Parlimen. Kebebasan dan jaminannya penting supaya keabsahan pilihan raya tidak dipersoalkan.


Dalam hal ini, kedudukan sebagai Pengerusi dan Anggota Pesuruhjaya terjamin oleh perlembagaan sebagaimana termaktub dalam Perkara 114.


Perkara 114 (1) menyebutkan SPR hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, dan hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima orang anggota lain.


Perkara 114 (2) pula menyatakan bahawa dalam melantik anggota-anggota SPR, Yang di-Pertuan Agong hendaklah mengambil perhatian tentang peri mustahaknya diadakan suatu SPR yang mendapat kepercayaan awam.


Perkara 114 (3) menjelaskan seseorang anggota SPR terhenti daripada memegang jawatan apabila mencapai umur enam puluh enam tahun atau apabila hilang kelayakan di bawah Fasal (4) [seorang bankrap belum lepas; melibatkan diri dalam apa-apa jawatan atau pekerjaan berbayar di luar tugas jawatannya; atau ahli mana-mana satu Majlis Parlimen atau Dewan Undangan sesuatu Negeri] dan boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong, tetapi tidaklah boleh dipecat daripada jawatan kecuali atas alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan.


Dengan kata lain, kepercayaan awam terhadap SPR ialah satu ciri penting seperti dalam Perkara 114 (2) manakala jawatan Pengerusi dan anggota Suruhanjaya yang lain mempunyai “security of tenure” iaitu suatu jaminan yang jawatannya tidak boleh ditarik balik, ditukar atau dipecat melainkan dalam keadaan luar biasa dan tertentu seperti dalam Perkara 114 (3) dan (4).


Kekal kebebasan institusi


Setahu saya, Datuk Azhar tidak hilang kelayakan berdasarkan Fasal 114 (3) dan (4). Jadi sebab apakah beliau meletakkan jawatan masih menjadi tanda tanya.


Ketika saya berada di bawah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Melantik Jawatan-jawatan Utama Perkhidmatan Awam dahulu, persoalan lantikan anggota pesuruhjaya SPR, SPRM, SUHAKAM dan lain-lain turut dibincangkan.


Pada prinsipnya, Jawatankuasa bersetuju bahawa semua jawatan tersebut perlu diteliti terlebih dahulu sebelum pelantikan dibuat kerana institusi-institusi tersebut sewajarnya bersifat bebas dan melapor kepada Parlimen, bukan kepada badan Eksekutif.


Justeru sementara penjelasan sewajarnya dinantikan terkait persoalan jawatan Pengerusi SPR, saya juga menggesa, jika benar Datuk Azhar meletakkan jawatan, pelantikan Pengerusi baharu dilakukan oleh kerajaan melalui Jawatankuasa Khas Parlimen dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Ini demi kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap SPR selaku pelaksana pilihan raya, salah satu daripada instrumen demokrasi yang penting.


__________________________________________________________________________________


Penulis merupakan Ahli Parlimen Ledang dan Pengerusi KEADILAN Negeri Johor

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page