top of page

Pengeluar Minyak, Kenapa Diesel Mahal: Petronas Perlu Dana Pelaburan, Carigali

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 minutes ago
  • 2 min read

Oleh: Lai Chen Heng


ULASAN: Di kedai-kedai kopi sekitar Setapak dan Wangsa Maju, persoalan yang sering diajukan kepada saya adalah seragam: "Kita negara pengeluar minyak, kenapa harga tidak boleh turun lagi? Kenapa perlu ada had 200 liter bermula 1 April?"


Sebagai individu yang pernah terlibat dalam perancangan strategik bandar raya, saya melihat isu ini melampaui angka di pam minyak. Ia adalah soal daya tahan ekonomi negara mendepani krisis tenaga sedunia yang semakin meruncing. Sekiranya ibu kota Kuala Lumpur terjejas, tidak boleh dibayangkan bagaimana isu ini menjejaskan seluruh negara.


Ancaman Selat Hormuz dan realiti ‘Dua Alam’


Kita perlu berpijak di bumi nyata. Konflik di Timur Tengah, khususnya melibatkan Iran, tidak menunjukkan tanda akan reda. Selat Hormuz, nadi utama bekalan minyak dunia, kini berada dalam zon merah. Kesannya? Harga minyak mentah dunia (Brent) telah melonjak melepasi AS$100 setong.


Ramai terkeliru dengan status Malaysia sebagai pengeluar minyak. Hakikatnya, kita berada dalam situasi yang sangat teknikal.


Fakta dan angka: Antara populisme dan kelestarian


Seperti yang ditegaskan kerajaan baru-baru ini, tanpa subsidi, harga pasaran sebenar RON95 kini mencecah RM3.87 seliter, manakala diesel mencecah RM5.52.

Lai Chen Heng
Lai Chen Heng

Bil subsidi negara kini melonjak mencecah RM4 bilion sebulan untuk menampung harga import petrol yang mahal akibat krisis global. Di sinilah letaknya keperluan mekanisme Subsidi Bersasar (BUDI95). Mengekalkan harga pada RM1.99 seliter adalah satu “keajaiban fiskal” di saat negara jiran membayar antara RM6 hingga RM9 seliter.


Kita harus belajar daripada kegagalan Venezuela. Akibat terlalu bergantung kepada subsidi melampau tanpa kawalan fiskal, industri minyak mereka runtuh kerana tiada modal penyelenggaraan, menyebabkan ekonomi lumpuh dan inflasi mencanak. Had 200 liter adalah langkah strategik bagi memastikan wang cukai tidak ketirisan kepada golongan maha kaya atau aktiviti penyeludupan.


Kestabilan Kuala Lumpur dan VMY2026


Penetapan harga RM1.99 ini adalah benteng utama dalam mengekalkan daya saing Malaysia, terutama bagi sektor perkhidmatan di Kuala Lumpur. Tanpa langkah capping ini, kos logistik dan e-hailing akan meledak—sekaligus memberi imej negatif terhadap kos sara hidup negara.


Sebagai mantan Ahli Lembaga Penasihat (ALP) DBKL yang pernah memberikan fokus utama kepada persediaan rapi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026), saya melihat kestabilan harga bahan api adalah kunci utama agar ekonomi warga kota tidak lumpuh akibat inflasi tenaga sebelum kempen besar ini bermula. Kita mahu Malaysia kekal sebagai destinasi yang kompetitif di persada antarabangsa dengan struktur kos yang terkawal.


Petronas bukan cek kosong


Petronas bukan “cek kosong”. Keuntungannya perlu dilaburkan semula (CAPEX) untuk mencari telaga baru bagi menjamin pengeluaran masa depan. Keputusan mengekalkan harga RM1.99 melalui BUDI95 adalah bukti keprihatinan kerajaan yang cuba mengimbangi kebajikan hari ini dengan kelangsungan hari esok.


Di sebalik krisis global dan ketidaktentuan di Selat Hormuz, kita harus memilih kestabilan ekonomi, bukannya retorik harga murah yang akhirnya membawa rebah kepada fiskal negara.

Penulis merupakan mantan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page