Agensi Hal Ehwal Agama santuni keluarga mangsa kemalangan di Klang
- Suara Keadilan

- 54 minutes ago
- 2 min read

Semangat kebersamaan dan kasih sayang ummah terus dizahirkan apabila pasukan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turun padang menyantuni keluarga mangsa kemalangan maut akibat dirempuh pemandu mabuk di Klang, baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, kunjungan tersebut bertujuan menyampaikan sokongan moral serta bantuan kepada Nor Nadia Abdul Majid, balu kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33.
Menurut beliau, pertemuan itu amat menyentuh hati terutama melihat keadaan anak kecil mangsa yang kehilangan kasih sayang seorang ayah.
"Allahu Akbar… tak dapat menggambarkan hiba menatap wajah anak kecil yang saya percaya sangat rapat dengan Almarhum ayahnya," katanya dalam muat naik di media sosial.
Beliau berkata, berdasarkan cerita Puan Nadia, Allahyarham Amirul Hafiz dikenali sebagai seorang yang teliti dalam urusan dokumentasi, penyayang terhadap keluarga serta disenangi rakan dan jiran.
Tambahnya, kehadiran pasukan agensi bukan sekadar untuk menyampaikan sumbangan, tetapi sebagai tanda bahawa keluarga tersebut tidak keseorangan dalam menghadapi ujian.
"Kehadiran kami bukan sekadar menyampaikan sumbangan, tetapi sebagai tanda bahawa beliau dan anak-anak tidak keseorangan - dan ummah sentiasa ada bersama dalam saat diuji," katanya.
Menurutnya, bantuan disalurkan melalui kerjasama pelbagai agensi termasuk Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Lembaga Tabung Haji, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), TV Alhijrah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
"Semangat #MadaniMembantu dizahirkan melalui sumbangan wang tunai, bantuan persekolahan serta sokongan kaunseling bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga," katanya.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa setiap ujian yang dihadapi mempunyai hikmah dan mengingatkan bahawa Allah SWT tidak pernah meninggalkan hamba-Nya.
"Semoga keadilan ditegakkan dan kejadian ini menjadi peringatan kepada semua pengguna jalan raya," katanya.
Dalam masa sama, beliau mendoakan agar roh Allahyarham Amirul Hafiz Omar ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.




Comments