Punca diesel naik: Gangguan bekalan eksport minyak Aramco Saudi
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 2 min read

Pemotongan bekalan minyak mentah oleh syarikat gergasi petroleum Aramco Saudi ke pasaran Asia dikenal pasti sebagai antara punca utama kenaikan mendadak harga diesel dan petrol di Malaysia ketika ini.
Aramco Saudi adalah syarikat pengeluar minyak nombor satu dunia, dengan menguasai kira-kira 10% hingga 12% daripada jumlah pengeluaran minyak mentah dunia.
Aktivis Pakatan Harapan, Syam Ghaz berkata, pengurangan eksport daripada 7.1 juta tong sehari kepada 4.3 juta tong sehari bagi April 2026 telah mencetuskan “kejutan bekalan” di peringkat global.
Menurutnya, situasi itu turut dipengaruhi penutupan laluan strategik di Selat Hormuz, yang sebelum ini menjadi laluan utama hampir keseluruhan eksport minyak Arab Saudi melalui pelabuhan Ras Tanura.
"Pelabuhan minyak utama Arab Saudi di Ras Tanura (timur) perairan Selat Hormuz yang ditutup sekarang. Sebelum perang hampir 100% lalu sini.
"Aramco Saudi terpaksa guna paip minyak yang kapasiti kecil ke pelabuhan Yanbu (barat).
Jaraknya kedua dua lokasi itu sekitar 1,200km," katanya dalam muat naik di media sosial.

Beliau menjelaskan, daripada jumlah eksport baharu 4.3 juta tong sehari itu, sebahagian besar diagihkan ke negara Asia termasuk China (37.7 peratus), India (14.7 peratus), Korea Selatan (12 peratus) dan Jepun (10.9 peratus), manakala negara Asia lain termasuk Malaysia menerima sekitar 13.9 peratus.
Katanya, sebelum konflik tercetus, Malaysia menerima sekitar 180,000 hingga 200,000 tong sehari bekalan minyak dari Arab Saudi, namun jumlah itu kini menurun kepada sekitar 120,000 hingga 140,000 tong sehari.
"Pengurangan kira-kira 30 peratus atau sekitar 60,000 tong sehari ini, ditambah dengan kos logistik yang meningkat, menjadi faktor utama kenaikan harga diesel kepada RM6.02 seliter dan RON97 kepada RM4.95 seliter," katanya.
Menurut beliau, kira-kira 50 peratus bekalan minyak Malaysia bergantung kepada laluan Selat Hormuz melibatkan negara seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Qatar dan Iraq, sekali gus menjadikan gangguan di rantau itu memberi kesan besar kepada pasaran tempatan.
"Itu belum masuk kos lojistik dan harga meningkat, sebab risiko akibat perang makin tinggi," ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan masih mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter bagi melindungi majoriti rakyat yang menggunakan bahan api tersebut untuk kegunaan harian.
Tambahnya, langkah itu menunjukkan keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengurus krisis tenaga dengan berkesan.
"Walaupun harga minyak global meningkat, Malaysia masih mampu mengekalkan kestabilan harga RON95, dan ini turut mendapat pengiktirafan pihak antarabangsa seperti JP Morgan terhadap daya tahan ekonomi negara," katanya lagi.




Comments