Kritikan terbuka Rafizi sukarkan parti, wajar berundur secara terhormat - KEADILAN Melaka
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

KEADILAN Melaka melihat tindakan berterusan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mengkritik parti secara terbuka sebagai satu perkembangan yang boleh menjejaskan kestabilan serta perpaduan dalaman organisasi itu.
Timbalan Pengerusi KEADILAN Melaka, Mohd Khuzaire Mohd Kamal (gambar) berkata, pendekatan tersebut bukan lagi sekadar perbezaan pandangan, sebaliknya telah mencetuskan persepsi negatif terhadap kepimpinan parti termasuk Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, naratif yang dibawa Rafizi dilihat mengelirukan dan tidak berasaskan fakta kukuh, sekali gus memberi implikasi besar terhadap keyakinan anggota parti dan rakyat.
"Naratif yang dibawa bukan sahaja mengelirukan, malah mencetuskan persepsi negatif terhadap kepimpinan parti tanpa asas yang kukuh.
"Perbuatan ini bukan lagi sekadar perbezaan pandangan, tetapi telah melangkaui batas dengan membawa implikasi besar terhadap kestabilan parti dan keyakinan rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, situasi itu lebih membimbangkan apabila tindakan berkenaan dilihat seolah-olah mempunyai agenda tertentu yang boleh melemahkan parti dari dalam, ketika KEADILAN dan kerajaan memerlukan kekuatan serta kesatuan di tengah tengah konflik Asia Barat yang menjejaskan ekonomi.
Beliau menegaskan bahawa parti tidak menolak perbezaan pandangan, namun ianya perlu disalurkan melalui saluran dalaman yang betul serta berlandaskan disiplin organisasi.
"Serangan terbuka yang berterusan ini menimbulkan persoalan serius terhadap niat sebenar beliau, sama ada benar-benar demi reformasi atau sekadar didorong kepentingan peribadi," katanya.
Sehubungan itu, Mohd Khuzaire berkata, sekiranya Rafizi tidak lagi sehaluan dengan perjuangan parti, tindakan paling benar adalah dengan meletakkan jawatan dan berundur secara terhormat.
"Jika beliau sudah tidak lagi selari dengan perjuangan dan prinsip parti, maka tindakan paling bermaruah adalah untuk meletakkan jawatan dan berundur secara terhormat," katanya.
KEADILAN Melaka pada masa sama menegaskan komitmen untuk terus mempertahankan kepimpinan parti serta menolak sebarang usaha yang boleh menggugat perpaduan dan kestabilan organisasi.




Comments