Pengarah pilihanraya: Pengalaman Amirudin mampu kukuh kekuatan jentera
- Redzuan Shamsudin

- May 29
- 1 min read

Pelantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersama KEADILAN diyakini mampu memperkukuh kesiapsiagaan parti menghadapi cabaran politik dan pilihan raya umum akan datang.
Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) sebagai mengulas pelantikan itu berkata, Amirudin yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran Kerajaan Negeri serta pengurusan parti mampu menggalas tanggungjawab berkenaan dengan berkesan.
Tidak sekadar itu, Naib Presiden KEADILAN itu juga cukup dekat dengan gerak kerja akar umbi dan mampu memahami keperluan jentera parti di pelbagai peringkat dengan baik.
"Beliau mempunyai pengalaman luas sama ada dalam pentadbiran kerajaan, pengurusan organisasi parti mahupun penyelarasan gerak kerja politik di lapangan.
"Sebagai Menteri Besar Selangor dan pimpinan kanan parti, beliau memahami keperluan jentera serta cabaran semasa yang perlu dihadapi parti menjelang pilihan raya akan datang," katanya dipetik.
KEADILAN baru-baru ini mengumumkan beberapa penyusunan semula organisasi parti termasuk melantik Amirudin sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersama sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.
Saifuddin yang juga Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN sementara itu menegaskan, parti itu juga memerlukan sosok pemimpin yang mampu menyatukan kekuatan parti dan gabungan secara lebih tersusun bagi memastikan gerak kerja pilihan raya berjalan dengan lebih fokus serta efektif.
Justeru, kapasiti Amirudin sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor juga dilihat memberi kelebihan dalam memperkukuh kerjasama antara parti komponen khususnya membabitkan penyelarasan gerak kerja pilihanraya.




Comments