top of page

Kemelut takhta: KEADILAN N Sembilan pertahan kedaulatan Institusi Diraja

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
39 minutes ago
2 min read

Penerangan KEADILAN Negeri Sembilan menyeru rakyat mempertahankan kedaulatan Institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan susulan keputusan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) semalam, berkuat kuasa serta-merta.


Keputusan itu dibuat selepas Baginda mendapati kesemua Exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.


Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Negeri Sembilan, Edy Noor Reduan berkata, tindakan Exco berkenaan dilihat sebagai perbuatan derhaka yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat serta keyakinan terhadap Institusi Diraja Negeri Sembilan.


"Pada pandangan kami, tindakan Exco adalah perbuatan derhaka, yang secara tidak langsung menjejaskan keharmonian rakyat, mencetuskan kecelaruan umum dan menghakis keyakinan terhadap Institusi Diraja Negeri Sembilan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, Penerangan KEADILAN Negeri Sembilan menjunjung tinggi kedaulatan Institusi Diraja serta menghormati Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) dan Adat Perpatih sebagai asas penting dalam tadbir urus negeri.


Edy Noor turut merujuk kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 17 September lalu yang menyatakan proklamasi bertarikh 19 April 2026 berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar adalah tidak sah kerana tidak memenuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS 1959.


"Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 17 September 2026 telah menyatakan bahawa proklamasi bertarikh 19 April 2026 berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar adalah tidak sah kerana tidak memenuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS 1959," katanya.


Dalam pada itu, Edy Noor berkata pihaknya berpandangan tindakan Istana mempertahankan kedaulatannya adalah tepat pada masanya daripada terus dicemari oleh apa yang didakwanya sebagai permainan politik Barisan Nasional dan Perikatan Nasional di Negeri Sembilan.


Sehubungan itu, beliau turut memuji penjawat awam Negeri Sembilan yang memilih untuk tidak bersekongkol dengan pihak yang cuba melaksanakan pewartaan berkaitan pelucutan takhta Tuanku Muhriz.


Beliau juga menyeru rakyat Negeri Sembilan dan seluruh negara supaya berdiri teguh menyatakan taat setia serta sokongan kepada Institusi Beraja Negeri Sembilan.


"Rakyat Negeri Sembilan khususnya dan rakyat seluruh negara, adalah wajib berdiri teguh menyahut taat setia serta sokongan penuh kepada Institusi Beraja Negeri Sembilan dan harus menjadi benteng Tahta Kedaulatan Tuanku Muhriz. Penderhaka harus ditolak," katanya lagi.


Edy Noor turut kekal tenang, menghormati proses undang-undang, menjaga keharmonian negeri dan menyerahkan sebarang pertikaian untuk diselesaikan melalui saluran perlembagaan dan undang-undang yang sah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page