Penganjur konvoi permotoran utamakan budayakan “Yang Santai, Pasti Sampai”
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Penganjur program konvoi permotoran perlu menjadikan aspek keselamatan jalan raya sebagai agenda wajib dalam setiap penganjuran bagi mengelakkan tragedi kemalangan maut terus berulang.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kemalangan jalan raya merupakan cabaran kesihatan awam yang serius dan memberi kesan besar kepada keluarga mangsa serta sistem kesihatan negara.
"Setiap kali tibanya hujung minggu yang menghimpunkan peminat permotoran, bilik-bilik kecemasan di hospital seluruh negara sering berhadapan dengan realiti yang amat memilukan. Di sebalik kerancakan acara, ada keluarga yang menerima khabar duka, kehilangan tempat bergantung akibat nahas jalan raya," katanya dalam muat naik di media sosial.
Dr Dzulkefly turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini serta mendoakan ketabahan buat keluarga yang ditinggalkan.

Menurutnya, berdasarkan Indeks Kematian Jalan Raya Malaysia oleh Kementerian Pengangkutan (MOT), secara purata 18 orang maut akibat kemalangan jalan raya setiap hari di negara ini.
Beliau berkata, lebih membimbangkan apabila 59 peratus daripada kematian tersebut melibatkan penunggang motosikal.
"Nahas jalan raya adalah cabaran kesihatan awam yang amat getir kepada negara dan penyumbang ke-5 tertinggi kepada kematian pramatang di Malaysia," katanya.
Tambahnya, kesan kemalangan kepada institusi kekeluargaan dan ekonomi amat mendalam. Berdasarkan Nilai Kehidupan Statistik (VSOL), Kerajaan Malaysia menanggung kerugian sekurang-kurangnya RM3.12 juta bagi setiap satu nyawa yang terkorban. Hal ini bukan sekadar angka; ia mewakili ketua keluarga, anak muda yang menjadi harapan, serta modal insan produktif yang hilang sekelip mata.
"Kepada pihak penganjur program konvoi mega, saya menyokong penuh niat baik dan semangat silaturahim yang dianjurkan kalian. Walau bagaimanapun, siri kemalangan maut yang terus berulang dari edisi pertama hinggalah ke penganjuran RXZ Members 8.0 baru-baru ini amat merisaukan," katanya.
Sehubungan itu, Dzulkefly menggesa penganjur memastikan mesej pemanduan berhemah dan advokasi keselamatan jalan raya dijadikan agenda wajib dalam setiap program.
Beliau berkata, peningkatan kes kemalangan dalam tempoh tertentu turut memberi tekanan kepada sumber hospital apabila bekalan darah, peralatan pengimejan, dewan bedah dan tenaga pakar perlu digerakkan untuk merawat mangsa.
Dzulkefly turut merakamkan penghargaan kepada Pasukan Kecemasan dan Trauma Pelbagai Disiplin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertungkus-lumus merawat serta menyelamatkan mangsa nahas jalan raya.
Katanya, masyarakat perlu mengubah budaya pemanduan ekstrem dan menggantikannya dengan mesej yang menekankan kesederhanaan serta keselamatan.
"Hentikan penggunaan slogan lama, ayuh budayakan slogan baharu yang lebih membawa mesej kesederhanaan dan keselamatan: 'Yang Santai, Pasti Sampai'."
Beliau berkata slogan tersebut penting bagi menekankan tunggangan berhemah, pematuhan had laju serta usaha mencapai sasaran kemalangan sifar.
"Jadikan keselamatan nyawa sebagai keutamaan mutlak sebelum memulas pendikit jentera anda. Ingatlah wajah insan tersayang yang sentiasa mendoakan kepulangan anda di rumah," katanya lagi.




Comments