top of page

Pengampunan Najib: PH dapat bola tanggung, rakyat tak puas hati layanan dua darjat?

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
2 minutes ago
3 min read
Hassan Abdul Karim. Gambar arkib
Hassan Abdul Karim. Gambar arkib

Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil pendekatan lebih ofensif susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.


Beliau berkata, keputusan berkenaan memberi ruang politik kepada PH untuk berdepan Umno-Barisan Nasional (BN), khususnya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 sekiranya formula kerjasama pilihanraya sekarang dipertahankan oleh BN-PN.


"Pengampunan bersyarat kepada Najib Razak beri bola tanggung kepada PH dalam PRU16.


"Baru satu hari berlalu, sudah jelas pengampunan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Najib Razak di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan telah memudaratkan Umno mulai sekarang dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.


Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib, membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan syarat ditetapkan.


Sementara itu, Hassan berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung tidak lama lagi boleh menjadi medan awal ujiankaji politik, manakala PRU16 perlu diadakan sebelum Februari 2028.


"Sekarang Umno-BN sudah mula berada dalam keadaan defensif. Di media sosial, rakyat sudah mula bertanya, bila Umno mahu lancarkan tabung pulihkan kerugian 1MDB (selepas melancarkan Tabung Solidariti Najib)?" katanya.


Menurut beliau, sejarah kepimpinan Najib dalam Umno dan BN turut perlu dilihat dalam konteks keputusan pilihan raya umum terdahulu.


Pada PRU 2013, katanya Umno-BN hampir hilang kerajaan Persekutuan. Itu kali pertama Najib Razak memimpin Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum sebagai Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional.


Hassan berkata, keputusan PRU14 pada 2018 pula menyaksikan kerajaan BN pimpinan Najib ditolak rakyat, dengan isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan 1MDB, antara perkara yang menurutnya menjadi tumpuan utama ketika itu.


Mengulas perkembangan terkini, Hassan berkata pengampunan bersyarat Najib sedikitnya telah mengubah landskap politik negara.


"Sekarang pengampunan bersyarat Najib telah mengubah lanskap politik Malaysia. PH mendapat bola tanggung dari pengampunan ini.


"Sebelum Najib diberi pengampunan, Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri, Presiden KEADILAN dan Pengerusi PH begitu defensif. Beliau dikritik secara terbuka dan juga di media sosial tidak henti-henti setiap hari.


"Namun kini keadaan sudah berubah angin," katanya.


Menurut Hassan, persepsi rakyat kini tertumpu ke arah sistem keadilan susulan keputusan tersebut.


"Apabila Najib diberi pengampunan dan lega hukum, tiba-tiba simpati kepadanya kerana merengkok dalam penjara meruap dan lesap.


"Rakyat mulai marah melihat sistem keadilan negara ini ada dua darjat. Satu untuk rakyat biasa golongan marhaen, dan satu lagi untuk elit politik dari kelas bangsawan," katanya.


Tambah Hassan, perkembangan itu turut memberi kesan terhadap kedudukan politik dalaman Umno yang mungkin kembali menggemakan slogan "Bossku" sebagaimana sebelum Najib ke penjara.


Beliau tidak menolak kemungkinan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan tenggelam menghadapi imej pemimpin de facto Umno, Najib Razak.


Selain itu, Hassan juga mempersoalkan kemampuan Umno dan Pas untuk membawa naratif pemerintahan yang bersih dan amanah dengan mengambil kira sabitan kes Najib.


"Jika dalam PRU15 tahun 2022, Pas dan Bersatu bergabung dalam Perikatan Nasional dengan membawa naratif PN yang Bersih dan Amanah, jadi kini bagaimana Pas dan Umno boleh membawa naratif yang sama, Bersih dan Amanah dengan kehadiran Najib Razak yang disabitkan bersalah dalam kes SRC International," katanya.


Hassan berkata, keputusan pengampunan bersyarat itu tidak seharusnya menghalang perbahasan politik mengenai isu integriti dan tadbir urus.


"Dari segi politik, Najib Razak kini menjadi beban kepada Umno dan juga Pas. Tidak ada beban, batu digalas.


"Bagaimana Umno dan Pas hendak bercakap mengenai kerajaan yang bersih dan amanah, yang telus, cekap dan adil apabila kini Najib telah muncul di hadapan mata rakyat sebagai satu simbol yang mencurigakan bagi sebuah kerajaan yang dikatakan ‘the government in waiting’?" katanya.


Untuk rekod, sebelum ini Najib disabitkan bersalah dalam kes SRC International. Beliau juga disabitkan bersalah atas tuduhan salah guna kuasa dan pelupusan wang haram melibatkan lebih RM2 bilion terkait 1MDB.


Untuk kes ini Najib dijatuhi hukuman 15 tahun penjara dan denda RM11.38 bilion. Keputusan mahkamah itu sedang dirayu oleh Najib.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page