Pengampunan bersyarat Najib hak Agong, ubah hukuman, bukan sejarah – Fakhrulrazi


Pengampunan bersyarat yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini tidak seharusnya dilihat sebagai penghapusan terhadap sabitan mahkamah, kata Mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.
Beliau berkata, rakyat perlu menghormati hak prerogatif pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan, namun pada masa sama kepentingan terhadap kedaulatan undang-undang dan akauntabiliti perlu terus dipelihara.
"Walaupun pengampunan telah diberikan, perlu ditegaskan bahawa pengampunan tidak menghapuskan sabitan mahkamah, tidak memadamkan rekod peristiwa yang telah berlaku dan tidak menghilangkan kesan salah laku (Najib) terhadap negara serta rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan beliau susulan keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib, membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat yang ditetapkan.
Fakhrulrazi berkata, persoalan lebih besar perlu dilihat daripada aspek amanah terhadap wang dan kepentingan awam, integriti pentadbiran, kebertanggungjawaban pemimpin serta keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
Menurutnya, kesan sesuatu salah laku terhadap negara tidak berakhir apabila hukuman dikurangkan atau seseorang diberikan pengampunan.
"Kesan terhadap kewangan awam, reputasi negara, keyakinan rakyat dan kepercayaan terhadap institusi tetap menjadi sebahagian daripada sejarah yang perlu kita hadapi dan pelajari," katanya.
Beliau berkata, perkembangan berkenaan turut mempunyai implikasi terhadap landskap politik negara memandangkan Najib merupakan bekas Perdana Menteri dan tokoh yang mempunyai pengaruh dalam politik nasional.
"Namun demikian, kita perlu membezakan dengan jelas antara hak Perlembagaan untuk memberikan pengampunan dengan persoalan akauntabiliti terhadap tindakan yang telah diputuskan melalui proses kehakiman.
"Pengampunan merupakan mekanisme Perlembagaan; ia bukan penghapusan sejarah, dan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai pengesahan bahawa kesalahan yang telah diputuskan oleh mahkamah tidak berlaku," katanya.
Sehubungan itu, Fakhrulrazi menyeru semua pihak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong, badan kehakiman dan Perlembagaan Persekutuan, selain memastikan prinsip kedaulatan undang-undang serta akauntabiliti terus dipelihara.
Beliau berkata, Malaysia tidak seharusnya melihat isu tersebut hanya dari sudut politik jangka pendek, sebaliknya mengambil pengajaran bagi memastikan kelemahan dalam pengurusan dan pengawasan kepentingan awam tidak berulang.
"Institusi negara mesti terus diperkukuh supaya amanah rakyat dilindungi tanpa mengira siapa yang memegang kuasa.
"Pengampunan boleh mengubah hukuman, tetapi ia tidak boleh mengubah sejarah," katanya lagi.
Fakhrulrazi berkata kekuatan sesebuah negara seharusnya diukur berdasarkan keupayaan institusinya mempertahankan kepentingan rakyat, kedaulatan undang-undang dan amanah negara secara berterusan.
Najib hari ini mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, dengan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan pada pagi tadi.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada Najib membayar denda RM50 juta.




Comments