top of page

Penerangan isu kejayaan kerajaan perlu sampai ke setiap rumah

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
Aug 16
2 min read

Penerangan mengenai dasar, inisiatif dan kejayaan Kerajaan MADANI perlu digerakkan secara berterusan sehingga sampai ke setiap keluarga dan setiap rumah, kata Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan (gambar).


Beliau berkata, setiap perwakilan dan anggota parti perlu memainkan peranan menggunakan media sosial untuk menyampaikan maklumat berasaskan fakta mengenai usaha kerajaan kepada rakyat.


"Setiap perwakilan yang ada dalam dewan ini mempunyai akaun media sosial. Gunakanlah media sosial untuk menyampaikan maklumat dan fakta ini kepada rakyat.


"Ceritakan apa yang Kerajaan MADANI telah lakukan, apa yang diusahakan dan apa yang telah berjaya dilaksanakan demi kepentingan rakyat," katanya dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional KEADILAN di MITC, Melaka, hari ini.


Menurut Ramanan, penerangan tidak boleh hanya rancak menjelang pilihan raya, sebaliknya perlu menjadi kerja harian parti di setiap cabang, ranting dan kawasan.


Katanya, kerajaan boleh melaksanakan pelbagai inisiatif, namun usaha tersebut tidak akan memberi kesan dari sudut penerimaan rakyat sekiranya mereka tidak mengetahui, memahami atau merasai manfaatnya.


"Kerajaan boleh melaksanakan seribu inisiatif. Tetapi jika rakyat tidak tahu, tidak faham dan tidak merasainya, maka akan wujud ruang untuk fakta diputar belit dan usaha kerajaan dinafikan," katanya.


Ramanan turut mengingatkan anggota KEADILAN supaya tidak berdiam diri apabila berdepan penyebaran fitnah atau maklumat yang diputar belit mengenai kerajaan.


"Kalau ada pihak yang menyebarkan fitnah, jangan kita diam. Jawab balik dengan fakta. Kalau ada maklumat yang diputar belitkan, betulkan dengan fakta.


"Kita lawan fitnah dengan fakta. Kita lawan persepsi dengan bukti dan kita yakinkan rakyat dengan kerja serta hasil," katanya.


Beliau berkata, usaha menerangkan pencapaian kerajaan merupakan tanggungjawab parti bagi memastikan kerja keras Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk rakyat turut diketahui masyarakat.


"Jangan kita biarkan Perdana Menteri kita bekerja siang malam untuk rakyat tetapi kita gagal menceritakan kepada rakyat apa yang telah beliau lakukan. Ini tanggungjawab kita. Ini kerja parti," katanya.


Ramanan berkata, jentera KEADILAN di setiap cabang perlu turun padang menyantuni rakyat, mendengar masalah mereka serta membantu mencari jalan penyelesaian.


Katanya, parti mempunyai saluran dan jaringan di peringkat akar umbi termasuk ketua kampung, ahli majlis, penyelaras DUN, penyelaras Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen.


"Kita mesti turun menyantuni rakyat. Jangan tunggu rakyat mencari kita. Kitalah yang perlu pergi mencari mereka.


"Dengar keluhan mereka, fahami masalah harian mereka dan cari jalan penyelesaian isu," katanya.


Beliau berkata, antara usaha kerajaan yang perlu diterangkan kepada rakyat termasuk program berkaitan pekerjaan dan pembangunan tenaga kerja, antaranya program TalentCorp, PACE di bawah HRD Corp serta peluang pekerjaan melalui portal MYFutureJobs.


Menurutnya, kadar pengangguran yang kini berada pada paras terendah dalam lebih sedekad serta kewujudan lebih 200,000 peluang pekerjaan melalui MYFutureJobs perlu diketahui rakyat supaya mereka dapat mengambil manfaat daripada peluang yang tersedia.


Ramanan turut menegaskan usaha kerajaan membela golongan B40 dan rentan perlu diteruskan, pada masa sama kerajaan perlu memastikan pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan, kebajikan rakyat dan keselamatan negara terus diperkukuh.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page