top of page

Penerangan, informasi kejayaan kerajaan MADANI mesti sampai ke akar umbi

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
2 hours ago
2 min read
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri R Ramanan
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri R Ramanan

Penerangan lebih menyeluruh mengenai informasi dan kejayaan kerajaan MADANI perlu diperkasakan hingga ke akar umbi bagi memastikan rakyat mengetahui serta memahami pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan sepanjang hampir empat tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan.


Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri R Ramanan berkata, segala kejayaan dan inisiatif kerajaan tidak akan memberikan impak dari sudut pengetahuan masyarakat sekiranya informasi mengenainya gagal disampaikan secara berkesan kepada rakyat.


Menurutnya, usaha memperbaiki penyampaian maklumat, penerangan dasar dan komunikasi di peringkat akar umbi perlu diberi perhatian supaya rakyat mendapat gambaran jelas mengenai apa yang telah dilaksanakan kerajaan untuk manfaat mereka.


"Informasi yang kita ada, apa kejayaan kita dan apa yang telah kita laksanakan mesti sampai kepada rakyat.


"Kalau ia tidak sampai kepada rakyat, memang rakyat tidak tahu apa yang sedang dilaksanakan.


"Jadi, ini adalah satu perkara yang kita perlu tambah baik, khususnya dari segi penyampaian mesej dan informasi di peringkat akar umbi," katanya ketika ditemui di perkarangan Dewan Japerun Machap Jaya, di sini, sempena hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, semalam.


Mengulas Belanjawan 2027 yang diumumkan baru-baru ini, Ramanan menyifatkannya sebagai belanjawan rakyat kerana pelbagai peruntukan dan bantuan disediakan untuk manfaat semua golongan masyarakat.


Katanya, kejayaan pelaksanaan inisiatif kerajaan sepanjang empat tahun turut dapat dilihat menerusi perkembangan ekonomi negara, termasuk pengukuhan nilai ringgit serta sambutan syarikat antarabangsa yang datang melabur di Malaysia.


Mengulas cabaran PH di Machap Jaya yang dianggap sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN), beliau berkata, keputusan pilihan raya tidak boleh ditentukan hanya berdasarkan tanggapan bahawa sesebuah kawasan merupakan kubu kuat parti tertentu.


"Memang kita lihat ia kubu kuat BN, tetapi sebelum ini kerajaan juga merupakan kubu kuat BN, namun sekarang Pakatan Harapan menerajui Kerajaan Perpaduan.


"Dalam pilihan raya umum ataupun pilihan raya negeri, apa sahaja boleh berlaku.


"Kita perlu turun kepada rakyat dan beritahu apa yang kita mahu lakukan untuk mereka," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page