Penentuan sempadan M'sia-Indonesia berasaskan perjanjian konvensyen - PM
- Suara Keadilan
- 5 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penentuan sempadan Malaysia-Indonesia, terutamanya di kawasan Nunukan, Sabah-Kalimantan adalah berasaskan perjanjian sejarah dan konvensyen antarabangsa yang berkuatkuasa.
Perdana Menteri (PM) berkata, asas penentuan sempadan darat antarabangsa Malaysia dengan negara jiran Indonesia itu adalah berdasarkan kepada dua konvensyen dan satu perjanjian.
Hal itu menurutnya adalah berkaitan Konvensyen Persempadanan antara Kerajaan British dan Belanda (1891) bagi keseluruhan Sabah dan Sarawak.
"Untuk Sabah, perjanjian persempadanan antara kerajaan British dan kerajaan Belanda (1915) dan untuk sebahagian kecil sektor di Sarawak, ia membabitkan Konvensyen Persempadanan antara Kerajaan British dan Belanda yang ditandatangani di Hague pada 26 Mac 1928.
"Bagaimana penentuan penjajaran persempadanan di kawasan Outstanding Boundary Problems (OBP) Sungai Sinapat, Sungai Sesai, yang menjadi isu ketika ini adalah berdasarkan kepada Boundary Convention 1891 dan Boundary Agreement 1915.
"Prinsip yang terkandung dalam perjanjian ini adalah penentuan kawasan berdasarkan kedudukan muara Sungai Sinapat dan Sungai Sesai di garis latitud 4°20′ Utara iaitu kawasan itu di bawah British bagi (Sabah).
"Manakala di Selatan garis latitud 4 darjah 20 minit Utara kawasan itu adalah di bawah Belanda bagi (Indonesia)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penerangan isu Jajaran Sempadan Malaysia–Indonesia di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut, Anwar berkata, kerja-kerja persempadanan telah bermula sejak 1977 bersama Indonesia dan Malaysia.
"Berdasarkan peta dalam Perjanjian 1915, kedudukan muara Sungai Sinapat dan Sungai Sesai ditunjukkan berada di selatan garis latitud 4 darjah 20 minit utara.
"Namun, hasil pengukuran bersama mendapati muara Sungai Sinapat sebenarnya terletak di utara garis latitud 4 darjah 20 minit utara, bukannya di selatan seperti yang digambarkan dalam peta berkenaan.
"Maka, pada pandangan Malaysia, semua lembangan sungai yang bermuara di utara garis latitud 4 darjah 20 minit utara adalah kepunyaan Malaysia.
"Kawasan OPB sebelum ini tidak boleh dianggap sebagai kawasan milik mana-mana negara kerana kawasan itu merupakan kawasan rundingan dan penentuan sempadan yang masih belum dimuktamadkan sejak dulu lagi.
"Saya ingin menegaskan penentuan sempadan tidak bersandarkan kepada prinsip pampasan atau timbal balik atau untung rugi seperti mana didakwa, sebaliknya penentuan persempadanan antara Malaysia dan Indonesia bersandarkan kepada Konvensyen dan Perjanjian seperti yang dijelaskan tadi," katanya lagi.





