top of page

Rakan Muda masjid kerjasama bersama Kementerian Agama

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 1 min read
Dr Taufiq dalam sidang media bersama Menteri Agama Dr Zulkifli
Dr Taufiq dalam sidang media bersama Menteri Agama Dr Zulkifli

Oleh: Akmal Manaf


Kerajaan komited memperluas fungsi masjid dalam pembangunan belia apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berganding dengan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerusi program Rakan Muda.


Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pemerkasaan program belia merupakan antara usaha pihaknya bagi membendung gejala negatif dalam kalangan belia.


"Masjid berperanan sebagai pusat perhimpunan anak muda bagi mencetuskan idea baharu yang bernas, selain menjadi ruang pelaksanaan aktiviti kesukanan dan kemasyarakatan, sekali gus melahirkan belia yang sihat dari segi jasmani dan rohani.


"Lebih penting lagi, walaupun kerjasama ini dengan Kementerian (Hal Ehwal Agama), pertama sasaran kita adalah belia seluruh Malaysia dan keduanya merentas agama. Maknanya bukan hanya belia beragama Islam, tetapi juga belia yang bukan beragama Islam.


"Masjid juga bukan sekadar tempat ibadah, tetapi juga sebagai landasan mengimarahkan aktiviti yang membina sahsiah dan jati diri golongan belia," katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media di kementeriannya yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan.


Dalam perkembangan sama, Dr Zulkifli berkata pelaksanaan inisiatif kerjasama berkenaan berteraskan pendekatan yang lebih proaktif, progresif dan kolaboratif.


Menurutnya, pendekatan itu menuntut perubahan cara kerja dengan menolak pelaksanaan secara berasingan, sebaliknya memperkukuh kerjasama bersama KBS bagi memperkemas gerak kerja sedia ada.


"Usaha ini bukan hanya tertumpu kepada aspek kerohanian, sebaliknya turut menjurus kepada pembinaan negara dan perpaduan," ujarnya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page