top of page

Malaysia tidak pernah serah tanah lebih 5,000 hektar kepada Indonesia

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 10 hours ago
  • 2 min read

Rajah 1: Kawasan sempadan darat OBP, Malaysia (Sabah) dan Indonesia (Kalimantan Utara)
Rajah 1: Kawasan sempadan darat OBP, Malaysia (Sabah) dan Indonesia (Kalimantan Utara)

Malaysia tidak pernah menyerahkan lebih 5,000 hektar tanah kepada Indonesia seperti yang didakwa pembangkang, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Sebaliknya Perdana Menteri menjelaskan dakwaan tersebut berpunca daripada salah faham dan penyelewengan fakta berkaitan proses penentuan sempadan negara.


Menurut beliau, isu jajaran sempadan Malaysia-Indonesia adalah perkara yang tertakluk kepada perjanjian dan konvensyen antarabangsa sejak era penjajahan serta tidak boleh dijadikan bahan tohmahan politik yang mengelirukan rakyat.


"Dakwaan berkenaan Malaysia menyerah seluas 5,207 hektar kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga buah kampung di kawasan Nunukan adalah tidak benar dan penipuan kalau pun tidak niat jahat sama sekali," kata Anwar dalam sesi penjelasan di Parlimen hari ini.


Perdana Menteri menjelaskan penentuan sempadan darat antara kedua-dua negara tidak dibuat berdasarkan prinsip pampasan atau pertukaran wilayah, sebaliknya berasaskan sepenuhnya kepada dokumen perundangan yang telah lama dipersetujui.


"Saya ingin menegaskan bahawa penentuan sempadan ini tidak bersandarkan kepada prinsip pampasan, timbal-balik atau untung-rugi seperti yang didakwa," katanya.

Rajah 2: Kawasan OBP di Pulau sebatik
Rajah 2: Kawasan OBP di Pulau sebatik

Beliau berkata kawasan yang sebelum ini dikenali sebagai Outstanding Boundary Problem (OBP) tidak boleh dianggap sebagai wilayah mana-mana negara kerana ia belum pernah dimuktamadkan sepanjang tempoh rundingan.


"Kawasan OBP sebelum ini tidak boleh dianggap sebagai kawasan milik mana-mana negara kerana ia belum diputuskan oleh kedua-dua negara," ujarnya.


Mengulas hasil pengukuran dan rundingan bersama, Perdana Menteri memaklumkan Malaysia sebenarnya memperoleh keluasan tambahan tanah, termasuk 780 hektar di kawasan OBP Sungai Sinapat–Sungai Sesai.


"Sempadan di kawasan OPB berdasarkan prinsip yang terkandung, sekali lagi saya tegaskan, pada perjanjian 1915 iaitu 780 hektar jadi milik Malaysia."


Dalam masa sama, beliau menegaskan kawasan seluas 5,987 hektar yang sering dijadikan modal dakwaan pembangkang sememangnya berada di bawah pentadbiran Indonesia sejak 1915 dan tidak pernah dituntut sebagai milik Malaysia.


"(Tanah) 5987 (hektar) itu kekal di bawah milik Indonesia yang dimiliki oleh Indonesia sejak 1915," jelasnya.


Anwar turut membidas pihak yang menuduh kerajaan mengkhianati negara, menyifatkan kenyataan sedemikian sebagai tidak bertanggungjawab dan mencemarkan usaha pegawai kerajaan serta anggota keselamatan yang terlibat secara langsung dalam proses persempadanan.


"Ada kenyataan biadab, ada kenyataan yang menuduh saya khianat kepada negara. Ini yang kita kena betulkan," katanya.


Beliau mengingatkan isu sempadan negara adalah perkara sensitif yang menuntut kebijaksanaan dan fakta, bukannya cercaan atau maki hamun demi kepentingan politik sempit.


"Kalau tak tahu, baik. Kalau tak tahu, tanya. Kalau tak tahu, jangan maki hamun. Tak tahu, tanya," bidasnya.


Anwar menegaskan Malaysia boleh berbeza pandangan dalam isu tertentu, namun hubungan baik dengan Indonesia tidak wajar digugat melalui tuduhan dan fitnah yang tidak berasas.


"Kita boleh berbeza pendapat tapi jangan menjatuhkan hukuman dan juga jangan menyinggung juga perasaan rakan-rakan kita di Indonesia yang berusaha untuk menjalin hubungan yang sangat baik dan akrab di antara dua negara," kata beliau.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page