Jamin pendidikan tinggi "semurah mungkin", bantu pelajar miskin
- Suara Keadilan

- 6 hours ago
- 1 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan untuk menjadikan pendidikan tinggi lebih mampu milik dan menyokong institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) termasuk Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT).
Perdana Menteri berkata kerajaan sedang menimbang memberi pendidikan percuma secara berperingkat khususnya kepada pelajar kurang berkemampuan.
"Kalau tanya saya, pendidikan ini sepatutnya semurah mungkin dan kalau boleh berikan kemudahan kepada semua yang perlu bantuan.
"Tetapi bila kita betulkan dan kita lihat umpamanya hutang tanggungan sudah sampai puluh bilion terhutang.
"Jadi tahun lalu saya putuskan, kita beri pendidikan percuma bagi yang paling miskin. Mulai 5,000 kemudian 10,000 orang," katanya pada program Temu Anwar bersama pelajar di kampus utama TAR UMT di Kuala Lumpur hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan mempertimbang pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar IPTS yang mencapai keputusan cemerlang, sejajar dengan prinsip pendidikan “sepatutnya semurah mungkin” untuk rakyat.
"Saya ada bincang juga dengan Kementerian Kewangan untuk mencari jalan meningkatkan lagi bantuan untuk pelajar-pelajar miskin," kata Anwar
Sebagai langkah sokongan lanjut, Perdana Menteri mengumumkan pengecualian cukai selama 10 tahun bagi yayasan dan institusi pendidikan termasuk Yayasan Tunku Abdul Rahman, sekali gus menyelesaikan ketidakpastian berhubung status cukai universiti itu yang dijangka tamat Disember lalu.
Pada majlis itu, Anwar turut menyampaikan replika cek peruntukan kerajaan RM40 juta kepada TAR UMT, yang akan digunakan untuk memperkukuh program akademik dan pembangunan kemahiran pelajar.
"RM40 juta ini adalah amanah yang kita serahkan untuk memperkukuh akademik dan kemahiran pelajar. Kita mahu universiti terus relevan dengan cabaran ekonomi dan teknologi masa kini," tambah beliau.









Comments