top of page

Program W.A.I.S.E. perkasa wanita melalui AI jana keusahawanan digital

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 7 hours ago
  • 2 min read

Karen (tiga dari kiri, depan) bersama tenaga pengajar dan peserta program yang mendapat sijil kemahiran AI
Karen (tiga dari kiri, depan) bersama tenaga pengajar dan peserta program yang mendapat sijil kemahiran AI

Program Empowering Women Through AI & Affiliate Marketing yang diadakan di Klang pada 29 Januari lalu telah berjaya memperkasa 30 peserta wanita dengan kemahiran kecerdasan buatan (AI), penciptaan kandungan digital dan pemasaran afiliasi bagi membuka peluang penjanaan pendapatan dalam ekonomi digital.


Bagi Exco Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN Pusat, Karen Kasturi yang hadir sebagai tetamu kehormat di Majlis Konvokesyen Program W.A.I.S.E. Kohort 2025–2026 berpendapat, inisiatif yang dianjurkan itu selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memperluas akses peluang ekonomi serta memperkasa wanita dengan ilmu pengetahuan digital.


"Program ini membuktikan AI boleh diakses oleh semua wanita termasuk pelajar, suri rumah mahupun wanita bekerja dan berfungsi sebagai alat praktikal untuk menjana pendapatan.


"Model latihan berfokuskan kemahiran serta pendedahan perniagaan sebenar seperti ini wajar diperluaskan ke seluruh negara sebagai inisiatif pemerkasaan wanita," katanya.


Program tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), dan dianjurkan oleh Women in AI for SDG Empowerment (W.A.I.S.E.) yang diterajui oleh Santhradevi Munusamy, dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia.


Sesi latihan dikendalikan oleh jurulatih profesional daripada GoDigital merangkumi penggunaan alatan AI, penghasilan kandungan digital, aktiviti TikTok Live serta pemasaran afiliasi.


Latihan bermula dengan sesi bersemuka pada 22–23 November 2025, diikuti bimbingan selama tiga bulan melalui sesi Zoom serta bimbingan individu dan berkumpulan.


Peserta turut didedahkan kepada pengalaman perniagaan sebenar melalui peluang mengendalikan booth jualan dengan booth pertama dianjurkan di Hotel Armada.


"Inisiatif ini memberi pendedahan langsung kepada peserta dalam pengurusan jualan serta penerokaan peluang perniagaan.


"Antara pencapaian utama peserta termasuk penglibatan aktif dalam TikTok Live, penghasilan kandungan video digital, kejayaan mencipta pendapatan pertama serta peningkatan pendapatan bagi segelintir peserta, komitmen tinggi dan pengiktirafan khas kepada peserta berprestasi baik," kata Karen lagi.


Program tersebut berakhir dengan Majlis Konvokesyen pada 29 Januari 2026 di Hotel Wyndham Acm, Klang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page