Bukan obses jadi PM, tetapi keberanian lawan rasuah - Abun
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Dakwaan pihak tertentu yang melabel Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai obses untuk menjadi Perdana Menteri (PM) adalah tidak adil dan tidak wajar.
Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit (gambar) menyifatkan, sesiapa yang berjaya menjawat jawatan PM telah pun mendapat keyakinan Yang di-Pertuan Agong mampu mentadbir negara berasaskan kaliber individu.
"Jika seseorang benar-benar obses sekalipun, tanpa kehendak Tuhan Yang Maha Esa, perkara itu tidak akan berlaku.
"Oleh itu, melabel Datuk Seri Anwar sebagai obses untuk menjadi PM pada pandangan saya ia tidak adil dan tidak wajar.
"Pelantikan PM berlaku mengikut ketentuan Tuhan serta perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pada masa berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.
Abun yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang bagaimanapun menegaskan, beliau menghormati setiap pandangan dan perbezaan pendapat.
Namun ujarnya, isu sebenar bukan mengenai soal obsesi, namun pemimpin mana yang konsisten dan berani melawan korupsi serta memperbaiki negara.
"Isu sebenar bukanlah soal obsesi, sebaliknya siapakah yang paling konsisten dan berani melawan kebobrokan serta rasuah yang melibatkan ratusan juta ringgit," katanya lagi.
Justeru, Abun berharap rakyat Malaysia akan kekal bersama Datuk Seri Anwar mendukung agenda pembangunan dan mendoakan agar beliau sentiasa dilindungi Tuhan dalam melaksanakan amanah yang diperjuangkannya selama ini.





