top of page

Hipokrasi politik Pas desak TKM 1 Pulau Pinang letak jawatan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 30 minutes ago
  • 2 min read


Oleh: Helmi Foad


Tindakan Pas Pulau Pinang mendesak Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid meletakkan jawatan susulan isu pengurusan dana zakat disifatkan sebagai hipokrasi politik, kata Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Muhammad Faiz Fadzil (gambar).


Menurut beliau, Pas dilihat bersikap tidak konsisten apabila hanya memfokuskan desakan terhadap pimpinan kerajaan Pulau Pinang, namun gagal mengambil pendirian sama terhadap seorang Menteri Besar daripada parti itu sendiri yang terpalit dengan isu penjualan tanah Kerajaan Negeri kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada harga didakwa lebih rendah daripada nilai pasaran.


"Desakan Pas Pulau Pinang supaya TKM 1 Pulau Pinang meletakkan jawatan atas isu pengurusan dana zakat menunjukkan sikap hipokrasi Pas dalam isu integriti," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, jika Pas benar-benar konsisten dalam soal tadbir urus dan integriti, parti itu seharusnya turut mendesak Menteri Besar daripada parti berkenaan untuk meletakkan jawatan memandangkan isu penjualan tanah tersebut juga sedang menjadi perhatian awam dan disiasat pihak berkuasa.


Muhammad Faiz berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang menjalankan siasatan berhubung isu agihan zakat yang dibangkitkan di Pulau Pinang.


Katanya, Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) sendiri telah mengeluarkan kenyataan pada 26 Januari lalu menjelaskan bahawa kelulusan agihan zakat tersebut tidak melanggar sebarang peraturan kerana mendapat kelulusan Mesyuarat Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang.


Beliau menegaskan Pas tidak seharusnya mengambil kesempatan daripada siasatan yang sedang berjalan untuk memburukkan imej pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang demi meraih keuntungan politik.


Dalam pada itu, Faiz berkata, tindakan SPRM memulakan siasatan membuktikan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan pentadbiran negara dilaksanakan secara telus dan adil tanpa campur tangan eksekutif termasuk dalam kes yang melibatkan parti pemerintah.


"Tindakan SPRM jelas menunjukkan kesungguhan Perdana Menteri untuk mentadbir negara dengan telus dan adil tanpa campur tangan eksekutif sekali gus membuktikan bahawa reformasi institusi yang dijanjikan Pakatan Harapan benar-benar sedang dilaksanakan, sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh Pas," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page