top of page

Penduduk Sg Ribong bimbang ancaman buaya, selesaikan isu bekalan air bersih

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 10
  • 2 min read
Bruce Yee menunjukkan pelantar yang digunakan penduduk untuk mencuci pakaian, berpotensi diserang buaya
Bruce Yee menunjukkan pelantar yang digunakan penduduk untuk mencuci pakaian, berpotensi diserang buaya

Kehadiran seekor buaya berhampiran penempatan penduduk di Sungai Ribong, Jalan Kim San, Sarikei, Sarawak mencetuskan kebimbangan serius dalam kalangan komuniti rumah panjang, lebih-lebih lagi apabila kawasan itu masih bergantung kepada sumber air sungai untuk kegunaan harian.


Ketua Cabang KEADILAN Sarikei, Bruce Yee Chin Kui berkata beliau telah melawat Rumah Chuat susulan insiden seekor buaya membaham anjing milik penduduk pada Jumaat lalu.


Menurut beliau yang membuat lawatan ke sana, kejadian tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk di tiga rumah panjang iaitu Rumah Patrik, Rumah Chuat dan Rumah Empenie yang telah menetap lebih 40 tahun di kawasan itu.


Tambahnya, situasi menjadi lebih membimbangkan kerana penduduk masih belum menikmati bekalan air bersih yang sempurna dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada Sungai Ribong untuk keperluan harian.


"Akibat ketiadaan bekalan air bersih, penduduk terpaksa menggunakan sungai untuk mandi, mencuci dan kegunaan domestik lain.


"Kini mereka berdepan dilema antara meneruskan kehidupan harian atau berhadapan risiko keselamatan akibat kehadiran buaya," ujarnya.


Beliau berkata, menurut penduduk, hal itu merupakan kali pertama kehadiran buaya dilaporkan berhampiran kawasan rumah panjang tersebut, sekali gus menambah kebimbangan khususnya melibatkan golongan kanak-kanak, wanita dan warga emas.


Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan segera bagi menangani ancaman tersebut.


"Saya menyeru pihak berwajib, khususnya agensi yang bertanggungjawab terhadap pengurusan hidupan liar, supaya mengambil tindakan segera untuk mengesan, menangkap dan memindahkan buaya tersebut ke habitat yang lebih sesuai demi menjamin keselamatan penduduk setempat," katanya.


Dalam masa sama, beliau turut menggesa Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) serta wakil rakyat tempatan agar segera menunaikan janji menyediakan bekalan air bersih kepada penduduk di kawasan berkenaan.


"Tidak wajar pada tahun 2026 masih terdapat komuniti yang telah menetap selama puluhan tahun tetapi terpaksa bergantung sepenuhnya kepada sungai sebagai sumber air utama mereka," tegasnya.


Menurut beliau, isu kehadiran buaya itu turut mendedahkan realiti sebenar yang dihadapi penduduk luar bandar, khususnya apabila masalah asas seperti bekalan air bersih masih belum diselesaikan.


"Saya berharap tindakan segera dan penyelesaian berkesan dapat dilaksanakan demi kesejahteraan, keselamatan dan kebajikan penduduk di Sungai Ribong," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page