Penduduk Lorong Sungai Dua terima kenaikan bayaran ex-gratia projek LRT
- Redzuan Shamsudin

- 4 minutes ago
- 1 min read

Penduduk Lorong Sungai Dua yang terlibat dengan perpindahan bagi projek laluan sistem pengangkutan rel ringan (LRT) menerima berita baik apabila bayaran ex-gratia bagi struktur rumah kediaman mereka dipersetujui untuk dinaikkan kepada RM72,000 bagi setiap unit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A Kumaresan berkata, keputusan itu dicapai selepas sesi libat urus yang diadakan bersama penduduk serta rundingan lanjut dengan Chow Kon Yeow selaku Ketua Menteri Pulau Pinang.
Menurutnya, beliau telah turun padang pada 12 Februari lalu bagi mengadakan sesi dialog dengan penduduk Lorong Sungai Dua yang terlibat dengan perpindahan struktur rumah di atas tanah kerajaan bagi memberi laluan kepada projek tersebut.
"Dalam sesi tersebut, penduduk memaklumkan bahawa mereka tidak berpuas hati dengan bayaran ex-gratia yang ditawarkan sebelum ini iaitu sebanyak RM42,000 bagi setiap struktur rumah kediaman," katanya dalam satu kenyataan.
Susulan maklum balas tersebut, beliau telah mengutus surat kepada Ketua Menteri bagi memohon agar kerajaan negeri mempertimbangkan semula kadar bayaran berkenaan dengan mengambil kira sejarah penempatan penduduk di kawasan itu.
"Dengan keprihatinan YAB Ketua Menteri serta Kerajaan Negeri, Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah bersetuju meluluskan penambahbaikan kadar bayaran ex-gratia kepada RM72,000 bagi setiap unit, berserta elaun perpindahan sebanyak RM2,000," katanya lagi.
Menurut Kumaresan, keputusan itu bermakna penduduk akan menerima kenaikan bayaran ex-gratia sebanyak RM30,000 berbanding kadar asal.




Comments