Penduduk bantah penutupan jalan: Adakan libat urus - ADUN Batu Uban


ADUN Batu Uban, Kumaresan Aramugam semalam turun padang ke Lorong Nipah 6 susulan bantahan penduduk terhadap cadangan penutupan jalan serta penempatan semula penjaja oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Menurut beliau, penduduk di kawasan tersebut tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan dan telah menyerahkan notis bantahan kepadanya bagi mendapatkan perhatian serta tindakan lanjut.
"Penduduk tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan telah menghantar notis bantahan kepada saya," katanya dalam muat naik di media sosial.
Susulan itu, Kumaresan berkata beliau telah menghantar surat rasmi kepada Datuk Bandar MBPP bagi memohon satu sesi perbincangan diadakan melibatkan penduduk dan penjaja yang terkesan.
Beliau turut menegur pihak MBPP supaya mengadakan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan dibuat.
"Saya juga telah menegur pihak MBPP supaya mengadakan sesi libat urus bersama penduduk dan penjaja (stakeholders) sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya.
Tambah beliau, pandangan dan input daripada semua pihak amat penting dalam mencari penyelesaian yang adil serta memberi manfaat kepada semua pihak.
"Pandangan serta input daripada semua pihak amat penting dalam mencari satu penyelesaian yang adil dan bersifat win-win situation untuk semua," katanya lagi.




Comments