Pendidikan Malaysia di Persimpangan



Oleh: Dr Maszlee Malik

Mutakhir ini isu pendidikan mula mendapat perhatian massa terutamanya apabila sesi persekolahan 2021 bermula dengan pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Pelbagai pihak telah muncul membicarakan isu berbeza mengenai pendidikan menurut kepedulian dan kebitaraan masing-masing. Walau bagaimanapun terdapat beberapa isu yang mendesak yang perlu ditangani oleh pihak Kerajaan dengan segera berhubung isu Pendidikan.

Terkini ialah suara calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diwakili oleh puluhan ribu calon SPM melalui Gerakan #SuaraPelajar adalah sesuatu yang serius. Isu tekanan mental dan juga persiapan yang tidak cukup oleh puluhan ribu calon untuk menduduki peperiksaan pada bulan Februari ini adalah sesuatu yang serius.


Cadangan saya agar pihak Menteri dan KPM mengadakan sesi pertemuan dengan wakil mereka, dan juga membuat sesi penerangan di media terbuka. Mereka inginkan suara mereka didengari. Sikap tidak mengendahkan suara puluhan ribu calon SPM ini adalah sikap yang tidak wajar. Mereka adalah masa depan negara.


Kesenjangan pendidikan

Kini isu PdPR menjadi topik perbincangan utama. Isu kesenjangan pendidikan dan kesenjangan digital mula dibicarakan. Jurang di antara mereka yang mempunyai akses kepada PdPR dengan mereka yang tidak mempunyai keupayaan untuk mengikuti PdPR semakin melebar. Pelbagai cadangan dikemukakan. Jika tidak ditangani, jurang ini akan semakin melebar dan akan menyebabkan perbezaan kelas ekonomi yang ketara di masa hadapan.

Bagi sekolah-sekolah yang terletak di pendalaman, pulau-pulau atau sekolah kurang murid, yang tiada kes-kes Covid-19 atau pun yang sukar diakses oleh orang ramai sama ada sekolah Orang Asli, sekolah-sekolah di Sabah Sarawak dan pulau-pulau di Semenanjung, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) harus memberikan autonomi kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk membenarkan mereka beroperasi dengan SOP yang ketat dan pengawasan pihak yang terlibat. Adalah tidak wajar mereka dibiarkan tidak belajar di kala mereka tiada capaian internet untuk PdPR, dan tidak dapat pergi ke sekolah untuk belajar.


Tangani isu capaian internet

Isu capaian internet di kawasan luar bandar juga perlu ditangani segera. Pihak syarikat telekomunikasi perlu bersama dengan pihak kerajaan melalui pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk memastikan capaian internet dapat diperluaskan. KPLB seharusnya bersikap lebih pro-aktif di kala pandemik ini kerana banyak isu melibatkan masyarakat di luar bandar.

Cadangan untuk memperuntukkan rancangan-rancangan Pendidikan di saluran utama televisyen dan radio, serta cadangan untuk mewujudkan saluran TV Pendidikan percuma perlu disegerakan.

Kita perlu akur bahawa bukan semua guru terlatih untuk melakukan PdPR, dan bukan semua murid mempunyai kemampuan untuk mengikutinya. Memaksakan para guru dan murid mengikuti jadual persekolahan yang konvensional sewaktu PdPR adalah satu tindakan yang akan menyebabkan matlamat asal pendidikan tidak akan dapat dicapai.

Para guru mestilah diberikan keanjalan untuk menentukan jadual waktu mereka. Hakikatnya hatta di kalangan anak-anak murid pun tidak semua mempunyai peranti sendiri, dan ramai yang terpaksa berkongsi dengan adik-beradik, malah ibu bapa, maka jadual yang serentak PdPR akan menyukarkan anak-anak mengikuti kelas mereka mengikut jadual konvensional.


Pendekatan baharu pendidikan

Menggunakan pedagogi, kurikulum dan pendekatan konvensional yang dibina untuk norma lama pendidikan secara bersemuka dan di dalam sekolah, untuk digunakan sewaktu PdPR bukanlah sesuatu yang berkesan. PdPR memaksa para guru, murid dan ibu bapa untuk menerima pedagogi, kurikulum dan pendekatan yang baharu. Masih belum terlambat untuk melakukan perubahan radikal ad-hoc di kala pendemik untuk melakukan anjakan paradigma untuk pedagogi, kurikulum dan pendekatan yang baharu. Para guru dan sekolah perlu diberikan autonomi dan keanjalan untuk menerokai kreativiti masing-masing.

Pendidikan tidak boleh lagi dilihat dalam kerangka belajar untuk menghabiskan silibus dalam buku teks semata-mata. Pendidikan di kala pandemik harus diselarikan semula dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, di mana intipatinya untuk melahirkan warga yang manusiawi dan seimbang perkembangan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Maka penerapan isu-isu sivik, nilai, kemahiran, berfikir dan memperkenalkan konsep pembelajaran kendiri perlu diterapkan.

Pendidikan di waktu pandemik juga memaksa ibu bapa berganjak dari paradigma lama yang menyerahkan isu pendidikan semata-mata kepada pihak sekolah. Kini, dengan sepenuh waktu anak-anak berada di rumah, rumah adalah sekolah pertama anak-anak. Ibu bapa harus memainkan peranan sebagai pendidik juga. Saya dan Gerakan #UntukMalaysia akan berusaha membekalkan titipan panduan dan nasihat dari semasa ke semasa kepada ibu bapa.


Tubuh Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan

Walau bagaimanapun apa yang dirisaukan oleh rakyat ialah masa depan pendidikan anak-anak mereka dan masa depan pendidikan negara. Krisis defisit kepercayaan berada di tahap maksimum. Ini perlu diakui oleh semua.

Maka, sekali lagi saya mencadangkan agar ditubuhkan Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan yang dianggotai oleh pemegang taruh pendidikan dari pelbagai pihak dan pengkhususan untuk menangani pelbagai isu pendidikan yang wujud dan juga untuk melakarkan ‘master plan’ untuk pendidikan pasca-pandemik demi masa depan negara.


__________________________________________________________________


Penulis merupakan mantan Menteri Pendidikan Malaysia. Beliau juga merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
10,710
153
5778
Total
916,561
7019
784,949

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
491,381
8,692
392,980
Total
186,407,192
4,028,301
168,805,736

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER