Pendekatan wasatiyyah atau kesederhanaan sangat penting diterapkan sebagai asas pendidikan agama dalam membendung ekstremisme.
Hal itu dinyatakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika merasmikan Seminar Wasatiyyah dan Membendung Ekstremisme yang dianjurkan oleh Asatizah Negeri Selangor dengan kerjasama Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Auditorium Dahlia, Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Shah Alam pada Isnin.
Dalam ucapannya itu, MB merujuk kepada peranan Rasulullah SAW sebagai pendidik agung yang membawa misi penting, termasuk menyampaikan risalah, membersihkan jiwa serta mengajarkan makna al-Quran dan hikmah kepada umatnya.
"Umat Islam yang lahir daripada pendidikan Rasulullah SAW itulah yang disebut sebagai ummatan wasatan – umat yang sederhana dan adil," katanya.
Tegas Amirudin, pendidikan berasaskan wasatiyyah mampu menjadi penawar kepada sikap melampau dalam beragama
Ujarnya, pendidikan wasatiyyah juga menyentuh nilai-nilai kemanusiaan dan sosial seperti kebersihan, kasih sayang serta keadilan sosial.
Beliau berharap Seminar Wasatiyyah dan Membendung Ekstremisme itu akan berjaya mencapai objektifnya dalam mendidik para pendidik untuk terus menyebarkan nilai-nilai Islam yang seimbang dalam membentuk minda generasi muda.
Seminar tersebut dihadiri oleh 400 peserta yang terdiri daripada para pendidik di bawah JAIS, yang memainkan peranan penting dalam menyemai nilai nilai kesederhanaan Islam dalam pendidikan.
תגובות