Pencerobohan Masjid al-Aqsa: Henti segera provokasi biadab rejim Zionis


Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan berulang kali rejim Zionis di perkarangan Masjid al-Aqsa yang disifatkan sebagai provokasi melampau serta mencabuli kesucian Al-Haram Al-Sharif.
Menterinya, Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, Masjid al-Aqsa merupakan kiblat pertama dan tanah suci ketiga umat Islam yang wajib dipertahankan.
"Sejarah membuktikan bahawa pencerobohan biadab ke atas al-Aqsa sentiasa menjadi pencetus gelombang kebangkitan ummah.
"Rejim Zionis tidak boleh dibiarkan menormalisasikan tindakan ekstremis ini yang berisiko menolak dunia ke kancah konflik global yang lebih rumit," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, JPM (Hal Ehwal Agama) mendesak komuniti antarabangsa mengambil tindakan tegas serta-merta terhadap rejim Zionis dan tidak sekadar mengeluarkan retorik kecaman.
Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh umat Islam supaya terus menyatukan saf solidariti serta memanjatkan doa qunut nazilah.
"Kepada seluruh umat Islam, teruskan menyatukan saf solidariti dan memanjatkan doa qunut nazilah agar Allah SWT memelihara kesucian Masjid al-Aqsa serta membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman kezaliman," katanya lagi.




header.all-comments