top of page

Pemulihan Ekonomi PMX Berhasil, Terus Diuji Luar dan Dalam

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 12m
  • 3 min read

Oleh: Shahbudin Embun


ULASAN: Jika dilihat pada sejarah, seorang pemimpin itu bukan sahaja diuji melalui kritikan dan bangkangan dari pihak pembangkang, tetapi ujian juga boleh datang, dan ada kalanya lebih tajam dari dalam.


Sebelum memegang tampuk pemerintahan lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) telah melalui pelbagai jalan yang berliku demi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik. Setiap langkah diperhatikan dan setiap dasar atau perancangan terus diburu oleh pelbagai pihak yang tugasnya hanya mengkritik. Itu adalah perkara biasa dan sebagai seorang pemimpin, PMX sentiasa bersedia dengan pelbagai ujian yang tidak pernah berhenti ini.


Apabila mantan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli hampir setiap hari mengkritik kerajaan Madani dan mempertikaikan kepimpinan PMX, ia bukan lagi kelihatan seperti semak dan imbang. Ia mula kelihatan seperti sebuah kempen untuk menjatuhkan Kerajaan Madani.


Kritikan yang berterusan tanpa imbangan fakta dan hanya berlandaskan emosi mengikut laporan yang boleh dipertikaikan kesahihannya, akhirnya boleh menjadi persepsi yang direka, bukannya realiti yang dibuktikan. Dan hari ini, rakyat begitu mudah percaya dan terpedaya dengan pelbagai persepsi yang sengaja direka.


Ada sahaja yang tidak kena


Dari sudut pendangan Rafizi, ada sahaja yang tidak kena, seolah-olah Kerajaan Madani hari ini telah gagal sepenuhnya. Bagi penyokong Rafizi, apa yang dikatakan oleh Rafizi hanyalah seperti satu teguran dan peringatan. Namun nada yang diungkapkan ternyata lebih berbisa daripada setiap laungan dan jeritan protes dari pihak pembangkang.

Penulis - Shahbudin Embun
Penulis - Shahbudin Embun

Adakah benar kerajaan ini gagal secara menyeluruh? Adalah kita sedang mengalami krisis keyakinan pelabur, pelarian modal atau ketidaktentuan pasaran?


Realitinya, pertumbuhan ekonomi masih bergerak positif dan pelaburan asing terus masuk manakala Ringgit terus menunjukkan kestabilan relatif dalam tekanan global. Dan di peringkat antarabangsa, hubungan strategik telah diperluas, pelaburan dirunding, dan kredibiliti negara dipulihkan selepas tempoh ketidaktentuan politik beberapa tahun lalu. Semuanya ini adalah fakta yang tidak boleh dinafikan.


Rakyat yang boleh berfikir dengan matang sedar bahawa perjalanan ini masih sukar. Adakah rakyat masih tertekan dengan kos sara hidup? Ya. Masalah ini bukannya boleh terus diatasi sekelip mata. Namun usaha terus dijalankan untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup ini serta pelbagai lagi masalah lain.


Label melulu kerajaan gagal


Apa yang tidak adil ialah dengan dengan terus melabel “kerajaan hari ini banyak sangat gagal” tanpa mengiktiraf pembaikan struktur dan kejayaan yang diperolehi. Ini boleh diumpamakan seperti sebuah retorik politik, dan bukannya analisis ekonomi.


Apa yang pasti, perjalanan membawa negara ke arah yang lebih gemilang bukanlah satu perjalanan yang selesa. Perlu diingatkan bahawa agenda reformasi bukannya satu projek populariti jangka pendek. Ia menyentuh struktur lama, budaya lama dan kepentingan lama. Ia memerlukan penjajaran fiskal yang tidak populis, rasionalisasi subsidi yang sukar difahami secara emosi serta penegasan tata kelola yang mengganggu kebiasaan lama.


Malaysia sebenarnya masih berada dalam fasa peralihan iaitu daripada politik ketidaktentuan pasca-pilihan raya umum kepada kestabilan berstruktur. Dan sebagai arkitek fasa ini, PMX memikul dua beban iaitu memulihkan keyakinan pelabur dan rakan strategik serta menenangkan keresahan domestik yang mendambakan hasil segera.


Sebenarnya Malaysia tidak memerlukan lebih banyak drama dalaman. Negara kita memerlukan kestabilan, pelaksanaan dan hasil. Ya, betul, mengkritik setiap hari mungkin akan membantu menaikkan profil politik beberapa pihak tetapi membina negara memerlukan disiplin, kesatuan dan fokus.


Rakyat tidak menilai siapa paling bijak berdebat, tetapi rakyat akan menilai siapa yang mampu memimpin dan setiap hari PMX telah membuktikan yang kepimpinannya berada di landasan yang betul untuk terus membawa negara ke puncak kejayaan.

Penulis merupakan seorang penganalisis politik dan Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur)

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page