Pemuda AMANAH Perak cadang tangguh elaun minyak Ahli Parlimen
- Redzuan Shamsudin
- 8 hours ago
- 2 min read

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak mencadangkan agar elaun bahan api Ahli Parlimen ditangguhkan sementara sebagai tanda solidariti terhadap rakyat yang sedang berdepan peningkatan kos sara hidup.
Ketua Pemuda AMANAH Perak, Khairol Najib Hashim (gambar) berkata, langkah itu wajar dipertimbangkan susulan kenaikan harga bahan api yang memberi kesan langsung kepada harga barangan dan kehidupan rakyat.
"Kenaikan harga diesel dan petrol yang memberi kesan langsung kepada harga barangan serta kos sara hidup rakyat hari ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi berpunca daripada tekanan global termasuk konflik geopolitik di Timur Tengah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, situasi itu bukan sahaja menjejaskan Malaysia, malah turut memberi tekanan kepada ekonomi global, sekali gus menuntut kepekaan daripada kepimpinan negara.
"Dalam keadaan rakyat sedang menanggung kesan peningkatan kos hidup, adalah penting untuk kepimpinan negara turut menunjukkan kepekaan dan solidariti bersama rakyat," katanya.
Beliau menjelaskan, cadangan penangguhan elaun bahan api bukan bertujuan menafikan keperluan tugas wakil rakyat, sebaliknya sebagai simbol kesediaan pemimpin berkongsi beban dengan rakyat.
"Langkah ini bukan bertujuan menafikan keperluan tugas wakil rakyat, tetapi sebagai simbol kesediaan kepimpinan untuk berkongsi beban bersama rakyat," katanya.
Tambahnya, kepimpinan berintegriti perlu diterjemahkan melalui tindakan yang mencerminkan empati terhadap kesusahan rakyat, bukan sekadar kenyataan dasar.
"Kepimpinan yang berintegriti bukan hanya diukur melalui dasar dan kenyataan, tetapi juga melalui tindakan yang mencerminkan empati terhadap kesusahan rakyat," katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa semangat kebersamaan amat penting dalam menghadapi cabaran global yang semakin mencabar ketika ini.
"Ini bukan masanya untuk keistimewaan dipertahankan tanpa pertimbangan, tetapi masa untuk semua pihak, termasuk pemimpin, memainkan peranan secara bertanggungjawab," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap cadangan tersebut dapat dipertimbangkan sebagai langkah membina keyakinan rakyat serta memperkukuh semangat solidariti nasional dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.
