top of page

Pemimpin Umno masuk, roh perjuangan Pas semakin berubah?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Perjuangan Pas didakwa semakin jauh daripada prinsip asal parti itu susulan perkembangan politik yang menyaksikan kemasukan beberapa bekas pemimpin Umno ke dalam parti berkenaan.


Mantan ADUN Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar (gambar) berkata, Pas suatu ketika dahulu sewaktu beliau bersama parti itu mengutamakan prinsip dan perjuangan Islam sebagai asas, manakala politik hanyalah wadah, kuasa bukan kekutamaan.


"Namun hari ini, saya melihat roh perjuangan itu semakin jauh daripada perjuangan yang asal.


"Dahulu prinsip dan perjuangan Islam menjadi asas, manakala politik hanyalah wadah. Kini seolah-olah politik kepartian lebih diutamakan daripada prinsip perjuangan," katanya dalam kenyataan.


Beliau turut mempersoalkan kemasukan bekas pemimpin utama Umno seperti Datuk Seri Shahidan Kassim dan Tan Sri Annuar Musa ke dalam Pas yang menurutnya seolah olah membawa perubahan budaya dan strategi.


"Kedua-duanya mempunyai sejarah panjang dalam Umno dan budaya politik Umno. Maka tidak salah untuk kita bertanya, adakah mereka yang berubah mengikut roh perjuangan Pas, atau pengaruh dan budaya politik lama turut dibawa masuk ke dalam Pas?" tanyanya.


Menurut beliau, keadaan itu lebih menghairankan apabila terdapat tokoh yang sebelum ini pernah dihina, dikritik dan dipertikaikan Pas atas pelbagai isu, namun kini diraikan serta diberikan kedudukan dalam parti.


"Menerima orang yang mahu berubah bukan satu kesalahan. Islam sendiri membuka ruang kepada taubat dan perubahan.


"Tetapi jangan sampai kerana kepentingan politik, prinsip yang dahulu kita pertahankan akhirnya dikompromikan," katanya.


Mohd Fakhrulrazi berkata, Pas sebelum ini berusaha mentarbiah penyokong Umno supaya berubah dan mendekati Islam, namun beliau bimbang keadaan kini berlaku sebaliknya.


"Dulu Pas mentarbiah orang Umno supaya berubah mendekati Islam.


"Hari ini jangan sampai berlaku sebaliknya — orang yang datang daripada budaya politik Umno pula membawa pengaruhnya sehingga Pas berubah dari dalam," katanya.


Beliau berkata, perkembangan itu tidak sepatutnya dilihat sebagai usaha membawa golongan daripada Umno ke dalam acuan perjuangan Islam semata-mata, sebaliknya perlu diperhatikan kemungkinan budaya politik lama turut mempengaruhi Pas.


"Bukan Pas membawa orang Umno kepada acuan perjuangan Islam, tetapi budaya politik Umno pula mula dibawa masuk dan mempengaruhi Pas," dakwanya.


Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak mendakwa Shahidan Kassim dan Annuar Musa sebagai punca tunggal kepada perubahan yang dilihatnya berlaku dalam Pas.


Fakhrulrazi berkata, walaupun sudah tidak lagi bersama Pas, beliau tetap mempunyai hak untuk merindui parti yang pernah memperjuangkan prinsip di hadapan kepentingan politik.


Beliau mengingatkan Pas supaya tidak terlalu mengejar kemenangan politik sehingga mengorbankan identiti dan prinsip perjuangan yang selama ini membezakan parti itu daripada parti lain.


"Jangan kerana terlalu mengejar kemenangan politik, kita akhirnya kehilangan roh perjuangan yang dahulu menjadikan Pas berbeza daripada yang lain.


"Parti boleh berubah. Pemimpin boleh berubah. Strategi boleh berubah.


"Tetapi jangan sampai perjuangan pula yang berubah," katanya.


Kritikan Pas semakin berubah dibawa arus pemimpin Umno semakin kerap dibangkitkan oleh ahli bawahan berikutan kerjasama PN-BN dalam pilihanraya Negeri Sembilan, genap selepas tiga tahun Pas mengisytihar Umno sebagai musuh dengan dakwaan perasuah, perjuangan asabiyyah dan sebagainya yang mewajibkan ahli menentang parti berkenaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page