Pemimpin tempatan Batang Kali kecam penghinaan terhadap Sultan Selangor
- Redzuan Shamsudin

- Apr 28
- 1 min read

Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras DUN Batang Kali bersama Ahli Majlis serta ketua-ketua kampung sekitar kawasan itu tampil membuat laporan polis membantah penghinaan terhadap institusi diraja Selangor.
Wakil kumpulan itu, Shah Ikram Idris berkata, pihaknya memandang serius sebarang bentuk provokasi atau kenyataan biadab yang menyentuh kedaulatan institusi diraja terutama Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Sebagai rakyat yang menjunjung tinggi institusi Raja Berperlembagaan, tindakan seperti ini bukan sahaja tidak boleh diterima, malah berpotensi menggugat keharmonian masyarakat serta ketenteraman awam.
"Tindakan tegas perlu diambil mengikut lunas undang-undang agar perkara sama tidak berulang," kata Pengurus Besar Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras DUN Batang Kali itu dalam satu kenyataan.
Shah Ikram turut menegaskan laporan polis itu juga tanda solidariti dan pendirian tegas penduduk Batang Kali bahawa sebarang penghinaan terhadap Sultan Selangor mesti disiasat secara menyeluruh.
Beliau turut menegaskan bahawa institusi Raja merupakan payung negeri dan simbol perpaduan rakyat yang perlu dihormati oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang politik, kaum mahupun agama.
Dalam masa sama, masyarakat juga diseru agar lebih bertanggungjawab dalam setiap kenyataan khususnya di media sosial, selain tidak menyalahgunakan kebebasan bersuara sehingga mencetuskan ketegangan.
"Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras DUN Batang Kali akan terus berdiri teguh mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu serta memastikan keharmonian negeri Selangor sentiasa terpelihara," tambahnya.




Comments