Pemimpin Pas T'ganu gagal tunai amanah, lebih senang tular di media sosial?
- Suara Keadilan

- 30 minutes ago
- 2 min read

Kehadiran pemimpin Pas-Perikatan Nasional (PN) Terengganu di peringkat Persekutuan tetapi tanpa keberanian bersuara dan mempertahankan kepentingan rakyat merupakan satu kegagalan amanah.
Menurut Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu, Ahmad Nadhir Yob, kehadiran Ahli Parlimen Kemaman yang juga Menteri Besar (MB) Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Rakyat masih tidak mencukupi apabila tidak kerap membangkitkan isu rakyat di peringkat negeri mahupun nasional.
"Jika kehadiran hanya sekadar simbolik, bezanya tidak jauh dengan papan nama kosong (di meja Ahli Parlimen).
"Lebih mengecewakan, ketika rakyat masih menunggu penyelesaian konkrit terhadap pelbagai isu tertangguh, kepimpinan negeri lebih sibuk mengulang naratif retorik tanpa sebarang indikator kejayaan yang boleh diukur," katanya dalam satu kenyataan.
Nadhir mengulas hantaran di media sosial Dr Samsuri minggu lalu yang memaparkan gambarnya di Dewan Rakyat dengan petikan kapsyen "Alhamdulillah dapat hadir bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain", biarpun hakikatnya dalam foto disertakan kerusi Ahli Parlimen PN di kiri dan kanan beliau kosong.
MB dipertanggungjawabkan kemajuan negeri
Dalam pada itu, Nadhir turut mengulas kenyataan MB yang menyatakan semua keputusan di peringkat Kerajaan Terengganu dibuat secara kolektif melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), yang mana Nadhir menyifatkan hal itu satu dalih untuk MB mengelak daripada dipertanggungjawabkan atas kelemahannya.
Tegas Nadhir, sebagai MB, Dr Samsuri perlu mempunyai wawasan tertentu membangunkan negeri dan tidak boleh hanya mengikut 'keputusan kolektif' sahaja.

"Dalam sistem demokrasi, kejayaan perlu dipertanggungjawabkan, kegagalan wajib diperbetulkan, dan pemimpin tertinggi tidak boleh terus bersembunyi di sebalik istilah ‘bersama-sama’," katanya.
Sebaliknya, Nadhir mahu Dr Samsuri menyelesaikan pelbagai isu dari pendidikan sampailah kelembapan ekonomi, yang mana rakyat tidak berminat mengetahui siapa yang bermesyuarat, sebaliknya menuntut penjelasan daripada pihak yang bertanggungjawab.
"Sejarah membuktikan negeri tidak dibina dengan slogan, dan kesejahteraan rakyat tidak lahir daripada kapsyen media sosial. Ia lahir daripada kerja keras, kejujuran dan keberanian membuat pembetulan," ujarnya.
Nadhir mengingatkan pemimpin Pas Terengganu bahawa mandat rakyat adalah satu amanah yang wajib ditunaikan, bukan sekadar untuk dipamerkan di media sosial kerana telah 'hadir' ke sesuatu majlis.
"Mandat rakyat bukan untuk dirakam, bukan dihias, dan bukan disenyapkan," katanya lagi.









Comments