KEADILAN Kuantan santuni komuniti Cina Taman Seri Inderapura
- Redzuan Shamsudin

- 3 hours ago
- 2 min read

KEADILAN Cabang Kuantan meraikan lebih 40 ketua isi rumah daripada komuniti Cina Ranting KEADILAN Taman Seri Inderapura dalam satu majlis ramah mesra yang diadakan di Dewan Sri Inderapura baru-baru ini, bersempena sambutan Tahun Baharu 2026.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada siri lawatan pimpinan Cabang Kuantan ke setiap ranting bagi mengeratkan hubungan silaturahim serta mendengar aduan dan cadangan anggota dalam usaha meningkatkan kesejahteraan diri dan keluarga masing-masing.
Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi, berkata penglibatan aktif anggota di peringkat akar umbi amat penting bagi memperkukuh perpaduan dan membina komuniti yang sejahtera.
"Saya mendoakan agar semua anggota terus menjaga kesihatan di samping meningkatkan penglibatan dalam kegiatan masyarakat. Kerajaan MADANI turut menyediakan pelbagai inisiatif bantuan, termasuk bantuan warga emas sehingga RM600 sebulan kepada mereka yang layak," katanya dalam ucapan aluan.
Beliau turut menggesa anggota Ranting Taman Seri Inderapura agar kekal aktif bersama pelbagai program kemasyarakatan yang dianjurkan oleh cabang dan ranting.
Sementara itu, Naib Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Jeff Lee Chee Mun, berkongsi maklumat mengenai Program Sejahtera Komuniti MADANI (Sejati MADANI) yang menawarkan geran bantuan ekonomi sehingga RM100,000 bagi menjayakan aktiviti komuniti.
"Geran ini merangkumi lima bidang utama iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula. Saya menyeru agar anggota ranting memohon geran ini bagi meningkatkan pendapatan keluarga," ujarnya.
Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa AMK Cabang Kuantan, Yap Wein Fook, mengambil kesempatan mengemaskini keanggotaan ranting serta mendaftarkan anggota baharu bagi Cabang Kuantan. Beliau juga membantu anggota mendapatkan maklumat berkaitan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) khususnya untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Pada majlis yang sama, sumbangan Bakul Makanan MADANI turut diserahkan kepada anggota Ranting Taman Seri Inderapura, khususnya mereka yang terjejas akibat banjir apabila kediaman dinaiki air antara 17 hingga 20 Disember 2025 lalu.
Ranting KEADILAN Taman Seri Inderapura kini mempunyai kira-kira 100 orang ahli daripada pelbagai kaum dan agama, dan terletak dalam kawasan DUN Inderapura, Parlimen Kuantan.









Comments