top of page

Pemimpin Muda: Antara Idealisme dan Kebijaksanaan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 3 min read

Oleh: Dr. Bam Al-Haj


ULASAN: Politik sentiasa menemukan kita dengan watak-watak berani, lantang dan penuh idealisme. Namun sejarah juga mengajar bahawa keberanian tanpa adab boleh menjerumuskan perjuangan ke lembah perpecahan.


Dalam konteks semasa, polemik melibatkan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), membuka kembali persoalan lama: sejauh mana batas kritik, dan di mana garis adab terhadap seorang ketua?


Kritik perlu, adab lebih utama


Dalam tradisi politik matang, kritikan adalah vitamin kepada demokrasi. Namun kritikan yang dibaluti emosi, sindiran melampau atau bahasa yang merendahkan martabat kepimpinan orang lain bukan sahaja mencederakan individu, malah melemahkan institusi.


Seorang pemimpin muda mungkin merasakan dirinya pembawa kebenaran. Namun kebijaksanaan bukan sekadar “berani menegur”, tetapi tahu bagaimana, bila dan di mana teguran itu wajar disampaikan.


Budaya Melayu dan Islam sangat menekankan adab terhadap ketua. Teguran dibuat dengan hikmah. Jika tidak, yang rosak bukan sahaja hubungan peribadi, tetapi kepercayaan rakyat terhadap kestabilan parti dan kerajaan.


Ideal dalam visi, rasional dalam misi


Pemimpin muda sering digerakkan oleh idealisme. Itu sesuatu yang baik. Namun idealisme tanpa disiplin boleh berubah menjadi egoisme.


Seorang negarawan tidak mengukur dirinya dengan populariti sorakan penyokong, tetapi dengan kematangan dalam mengurus perbezaan.


Jika setiap ketidaksetujuan diterjemahkan sebagai pertarungan terbuka, akhirnya perjuangan keadilan berubah menjadi perseteruan peribadi.


Memberi ruang kepada PMX sebagai ketua bukan bererti tunduk membuta tuli. Ia bermaksud memahami hierarki kepimpinan dan menghormati mandat yang diberikan rakyat. Inilah adab.


“Never Outshine Your Master”


Dalam buku The 48 Laws of Power, Robert Greene menulis hukum pertama: Never Outshine the Master.


Maksudnya bukan menghalang bakat atau menutup kebenaran, tetapi mengingatkan bahawa dalam struktur kuasa, tindakan yang mempermalukan atau mencabar ketua secara terbuka boleh membawa implikasi besar — bukan sahaja kepada individu, tetapi kepada organisasi.


Dalam politik, persepsi lebih kuat daripada niat. Apabila seorang tokoh muda dilihat cuba “mengatasi” ketua secara terbuka, rakyat mungkin mentafsirnya sebagai perebutan kuasa, bukan perjuangan prinsip.


Teladan sahabat: Jiwa besar Khalid al-Walid


Sejarah Islam memberikan contoh kepimpinan berjiwa besar melalui Khalid ibn al-Walid r.a. Beliau seorang panglima agung, digelar “Saifullah”. Rasulullah SAW sendiri yang memberikannya gelaran tersebut.


Namun apabila dilucutkan jawatan oleh Khalifah, beliau tidak memberontak, tidak memburukkan kepimpinan, tidak menghasut pengikut. Beliau terus berjuang sebagai tentera biasa demi maslahat ummah. Itulah kemuncak adab dalam kepimpinan — meletakkan misi di atas ego.


Bayangkan jika Khalid memilih untuk melawan atau meruntuhkan kredibiliti khalifah. Sejarah Islam mungkin berbeza. Jiwa besar beliau mengajar bahawa kuasa bukan milik peribadi; ia amanah dan tanggungjawab.


Apabila seseorang merasakan dirinya sentiasa betul, dan ketua mesti mengikut rentaknya, itu tanda bahaya dalam politik. Demokrasi bukan pentas membuktikan kehebatan diri, tetapi medan membina kesepakatan.


Kekalahan dalam pemilihan parti bukan kehinaan. Ia sebahagian daripada proses. Reaksi selepas kalah lebih penting daripada kemenangan itu sendiri.


Kita harus berhati-hati dengan gaya politik yang terlalu emosional. Sejarah dunia menunjukkan bahawa pemimpin yang bermula dengan retorik keras dan keyakinan diri melampau, jika tidak dikawal oleh nilai adab dan disiplin boleh cenderung kepada autoritarianisme.


Nasihat kepada pemimpin muda


Hormatilah struktur kepimpinan.


Tegurlah dengan hikmah, bukan dengan penghinaan atau tuduhan melulu. Bezakan antara prinsip dan ego.


Jangan jadikan perbezaan strategi sebagai perang terbuka.


Pemimpin besar bukan diukur dengan keberanian menyerang, tetapi dengan kebijaksanaan menyatukan.


Adab mendahului kuasa


Kuasa tanpa adab adalah bencana. Keberanian tanpa hikmah adalah fitnah. Ideal tanpa rasional itu berbahaya. Ilmu tanpa adab ibarat api tanpa kawalan.


Bagi saya, "apa sahaja keputusan dan tindakan ketika emosi kita tidak stabil, keputusan dan tindakan itu biasanya silap". Jika perjuangan ini atas nama reformasi dan keadilan, maka disiplin dan kesetiaan kepada kepimpinan yang sah perlu dijaga.


Memberi ruang kepada PMX sebagai ketua bukan tanda kelemahan, tetapi kematangan politik. Tanda sikap hormat dan beradab.


Belajarlah daripada sejarah. Belajarlah daripada sahabat. Belajarlah bahawa dalam perjalanan menuju kuasa, jangan sampai hilang adab — kerana apabila adab runtuh, kuasa itu sendiri akan rebah.

*Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis dan bukannya pendirian rasmi Suara Keadilan

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page