Kerajaan MADANI berjaya imbang keadilan sosial, pertumbuhan ekonomi
- Redzuan Shamsudin

- 1 minute ago
- 2 min read

Prestasi pentadbiran Kerajaan MADANI bagi tempoh 2023 hingga 2025 disifatkan sebagai satu anjakan paradigma yang berjaya mengimbangi keadilan sosial dan pertumbuhan ekonomi negara.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong berkata, pencapaian tersebut didorong oleh kepimpinan berteraskan nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
"Prestasi pentadbiran Kerajaan Madani bagi tempoh 2023-2025 jelas mempamerkan satu anjakan paradigma yang sangat luar biasa," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada 3.6 peratus pada 2023 kepada 5.2 peratus pada 2025, manakala jumlah pelaburan mencatatkan rekod tertinggi selama tiga tahun berturut-turut.
"Jumlah keseluruhan pelaburan mencecah RM1.14 trilion di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," ujarnya.
Tambah beliau, sektor pelancongan turut berkembang pesat dengan kehadiran 42.2 juta pelancong pada 2025, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai antara destinasi utama di Asia Tenggara.

Dalam pada itu, nilai mata wang ringgit juga menunjukkan pengukuhan apabila kadar tukaran meningkat daripada RM4.55 berbanding dolar Amerika Syarikat pada 2023 kepada RM3.88 pada 2025.
Mengulas aspek perlindungan sosial, beliau berkata pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk program MySARA yang menyalurkan bantuan bulanan RM100 kepada kira-kira enam juta keluarga.
"Sektor tenaga dan bahan api turut diberi perhatian melalui pengenalan BUDI95 yang menetapkan harga petrol pada kadar RM1.99 seliter bagi RON95, di samping pelaksanaan Subsidi Diesel yang bersasaran kepada 33 jenis kenderaan persendirian dan komersial menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDK)," katanya.
Dalam usaha memperkasa ekonomi pekerja, kerajaan turut menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 serta melaksanakan kenaikan gaji penjawat awam sebanyak 13 peratus secara berperingkat.
Selain itu, Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig diperkenalkan bagi melindungi kebajikan pekerja ekonomi gig termasuk pemandu e-hailing dan pekerja sambilan.
Beliau turut menekankan komitmen kerajaan dalam melaksanakan reformasi institusi melalui pelbagai inisiatif termasuk pindaan perlembagaan berkaitan kewarganegaraan, pengenalan Parlimen Services Act serta Government Procurement Act bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti.
"Akhir sekali, agenda pemerkasaan anak muda diterjemahkan melalui RUU Pindaan AUKU yang memberikan ruang serta kebebasan politik tambahan kepada golongan mahasiswa di menara gading," katanya.
Justeru, David Cheong menyeru rakyat untuk terus memperkukuh perpaduan dan menyokong usaha kerajaan dalam memastikan kestabilan serta kemakmuran negara berterusan.
"Kita wujud untuk saling melengkapi. Keberkesanan Kerajaan Madani hari ini jelas terbukti apabila pengurusan yang telus, adil, dan berintegriti mampu memastikan hasil bumi negara diagihkan secara saksama kepada rakyat.
"Syabas dan tahniah atas kejayaan kepimpinan Kerajaan Madani," katanya lagi.




Comments