Pemilihan calon KEADILAN PRN Johor dimuktamadkan secara kolektif - Nurul Izzah
- Noraini Nordin

- 3 hours ago
- 2 min read

Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, menegaskan bahawa proses penentuan calon telah dimuktamadkan secara kolektif oleh Jawatankuasa Penilaian Calon selepas melalui proses temu duga, penelitian dan tapisan yang menyeluruh.
Beliau berkata, semua nama yang dikemukakan telah melalui proses yang ditetapkan, selain semakan latar belakang, tapisan rekod jenayah serta saringan integriti termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurutnya, proses tersebut penting bagi memastikan calon yang diketengahkan bukan sahaja mempunyai keupayaan politik dan penerimaan setempat, tetapi juga rekod yang bersih serta kesediaan memikul amanah rakyat.
"Keputusan calon tidak dibuat secara bersendirian. Ia telah melalui proses kolektif oleh Jawatankuasa Penilaian Calon. Semua calon telah ditemu duga, dan kita juga mengusahakan proses tapisan termasuk semakan rekod jenayah serta saringan SPRM," katanya.
Dalam masa sama, Nurul Izzah mengakui bahawa proses pemilihan calon dalam mana-mana parti tidak pernah mudah kerana melibatkan banyak pandangan, harapan akar umbi dan pertimbangan setempat.
Namun, beliau mengingatkan bahawa perjuangan parti tidak boleh terhenti hanya kerana seseorang individu atau kumpulan tidak dinamakan sebagai calon.
"Tetapi selepas keputusan dibuat tanggungjawab kita ialah rapatkan saf. Jangan kerana seorang tidak terpilih, seluruh gerak kerja parti diperlahankan. Jangan kerana kecewa, kita tarik diri dari membantu sehingga merugikan perjuangan yang lebih besar," katanya.
Nurul Izzah berkata, semua pihak perlu melihat keputusan calon sebagai keputusan organisasi, bukan keputusan peribadi mana-mana pihak.
Beliau turut menyeru pimpinan cabang, jentera akar umbi dan anggota parti supaya terus memainkan peranan masing-masing bagi memastikan parti bergerak sebagai satu pasukan.
"Calon hanya satu komponen. Kekuatan sebenar KEADILAN ialah jentera, akar umbi dan disiplin organisasi. Kalau kita benar-benar percaya kepada perjuangan reformasi, kita tidak boleh menjadikan kekecewaan peribadi sebagai alasan untuk melemahkan parti," ujarnya.
Menurutnya, KEADILAN menghargai semua pimpinan dan anggota yang telah bekerja di lapangan.
Ruang untuk berkhidmat kepada parti dan rakyat, jelas beliau, tidak terhad kepada jawatan calon semata-mata sebaliknya boleh diteruskan melalui kerja organisasi, kempen, penyusunan jentera dan khidmat masyarakat.
"Tidak terpilih sebagai calon bukan bermaksud tidak dihargai. Ramai yang telah menyumbang dan akan terus ada peranan penting dalam parti. Tetapi dalam fasa pilihan raya, disiplin paling utama ialah menerima keputusan, bekerja bersama dan memastikan kemenangan parti," katanya.
Nurul Izzah turut menegaskan bahawa parti kini perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada isu rakyat, tawaran dasar dan usaha meyakinkan pengundi.
"Rakyat sedang menilai kita. Sebab itu saya menyeru semua pihak, yang terpilih, yang tidak terpilih, yang menyokong calon tertentu atau yang membawa pandangan berbeza — mari kita kembali kepada tujuan asal. Fokus kita ialah rakyat, kemenangan dan perjuangan KEADILAN," katanya.
Beliau berkata, selepas keputusan dimuktamadkan, keutamaan parti ialah memperkukuh gerak kerja lapangan, merapatkan saf kepimpinan dan akar umbi serta menggembleng seluruh kekuatan parti ke arah kemenangan.




Comments