Pemeriksaan mata percuma beri manfaat 44 penduduk luar bandar Sarikei
- Redzuan Shamsudin

- 3 hours ago
- 1 min read

Seramai 44 penduduk di Rumah Panjang Sibar Anak Duat, Lubuk Lemba, Ulu Sarikei mendapat manfaat daripada Program Pemeriksaan Mata Percuma yang dianjurkan bagi meningkatkan akses komuniti luar bandar terhadap penjagaan kesihatan mata.
Program yang berlangsung pada 22 Ogos lalu itu dianjurkan Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Hospital Sarikei dengan kerjasama Klinik Mata Hospital Sarikei, Agrobank Sarikei dan SABERKAS Cawangan Pakan.
Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Sarikei, Bruce Yee, berkata peserta bukan sahaja menerima pemeriksaan mata malah turut mendapat khidmat nasihat serta pendidikan mengenai penjagaan penglihatan.
"Program ini telah memberi manfaat kepada 44 orang penduduk setempat yang hadir mendapatkan pemeriksaan mata, khidmat nasihat kesihatan mata serta pendidikan mengenai penjagaan penglihatan," katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, peserta turut diberikan penerangan mengenai penyakit mata seperti katarak dan retinopati diabetes, termasuk langkah pencegahan bagi memastikan kesihatan mata sentiasa terpelihara.
Bruce Yee berkata program seumpama itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti dapat dinikmati seluruh rakyat termasuk komuniti luar bandar.
"Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dapat dinikmati oleh seluruh rakyat, termasuk komuniti di kawasan luar bandar," katanya.
Beliau berkata inisiatif tersebut bukan sahaja membantu mengesan masalah penglihatan pada peringkat awal, malah meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mata.
Dalam pada itu, ALPH Hospital Sarikei merakamkan penghargaan kepada Tuai Rumah Sibar Anak Duat, komuniti rumah panjang, Klinik Mata Hospital Sarikei, Agrobank Sarikei, SABERKAS Cawangan Pakan serta semua pihak yang membantu menjayakan program berkenaan.




Comments